Kerajaan diharap dapat capai penyelesaian terbaik

Kerajaan diharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu pegawai perubatan kontrak yang belum diserapkan ke jawatan tetap. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wong Chia Zhen)
Kerajaan diharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu pegawai perubatan kontrak yang belum diserapkan ke jawatan tetap. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wong Chia Zhen)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu pegawai perubatan kontrak yang belum diserapkan ke jawatan tetap.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen berkata, ia berikutan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba akan membentangkan isu tersebut dalam mesyuarat kabinet pada Rabu.

Chia Zhen berkata, penyelesaian itu diharap dapat dicapai serta dipercepatkan agar lebih 20,000 doktor kontrak berasa lega dan mendapat apa yang sewajarnya milik mereka.

“Gerakan berpendapat pentingnya kerajaan terutama Kementerian Kesihatan untuk memelihara kebajikan setiap anggotanya tanpa sebarang bentuk perbezaan yang boleh dianggap diskriminasi.

“Aduan isu doktor kontrak ini bukan suatu perkara baharu. Ia sudah berlaku bertahun-tahun lamanya, lebih lima tahun. Namun, penyelesaiannya tetap tidak dicapai,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Chia Zhen berkata, kerajaan juga perlu meneliti cara untuk menghapuskan jurang perbezaan antara doktor tetap dan doktor kontrak.

Menurutnya, ia termasuk perbezaan gaji dan pemberian Hadiah Latihan Persekutuan untuk menyambung pelajaran ke peringkat siswazah, selain peluang kerjaya yang jelas serta nyata dalam sektor awam seperti kenaikan pangkat.

“Ini kerana mereka memerlukan kesamarataan dan bukannya sagu hati,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa pentingnya kerajaan menjaga kebajikan para doktor, jururawat dan pekerja-pekerja sektor kesihatan agar dapat melahirkan sebuah institusi kesihatan yang cekap dan mantap dalam membekalkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Jasa doktor dan para pekerja kesihatan dalam memerangi pandemik Covid-19 amat dihargai. Kami akan sentiasa bersama menjaga kesaksamaan dan kebajikan para petugas barisan hadapan,” katanya, -end-