RM1.9 juta kompaun babitkan majikan ingkar

Sebanyak 220 kompaun dikeluarkan kepada majikan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan di tempat kerja. - Foto 123RF, gambar kecil: Datuk Awang Hashim
Sebanyak 220 kompaun dikeluarkan kepada majikan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan di tempat kerja. - Foto 123RF, gambar kecil: Datuk Awang Hashim
A
A
A

PENDANG - Sebanyak 220 kompaun membabitkan RM1,925,000 dikeluarkan kepada majikan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan di tempat kerja melalui penguatkuasaan pengkompaunan Akta 342 yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja setakat Isnin.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kesalahan paling tinggi ialah kegagalan majikan mematuhi kapasiti kehadiran pekerja iaitu 78 kes sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, kesalahan lain ialah beroperasi tanpa kebenaran iaitu 57 kes, individu gagal mendaftar masuk premis (18) dan gagal melaksanakan penjarakan fizikal (31).

"Ini adalah empat kesalahan paling tinggi yang dilakukan bermula 1 Jun sehingga 12 Julai manakala 36 kes lagi adalah lain-lain kesalahan.

"Mengenakan kompaun bertujuan mendisiplinkan majikan untuk membantu kerajaan memerangi Covid-19 kerana kali ini terdapat varian pandemik ini yang dilihat lebih kuat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serahan Bakul Makanan Parlimen Pendang di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pendang di Kampung Gajah Mati, dekat sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Awang berkata, kerajaan tidak memfokuskan kepada jumlah kompaun yang dikenakan semata-mata sebaliknya majikan hanya diminta untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Awang melihat barang-barang sumbangan yang akan diagihkan di PKWR Parlimen Pendang, di Kampung Gajah Mati, dekat Pendang pada Selasa.
Awang melihat barang-barang sumbangan yang akan diagihkan di PKWR Parlimen Pendang, di Kampung Gajah Mati, dekat Pendang pada Selasa.

Jelasnya, Selangor muncul negeri tertinggi dikenakan kompaun iaitu 86 kompaun iaitu RM762,000, diikuti Kuala Lumpur 51 kompaun (541,500), Pulau Pinang 21 kompaun (RM133,500) dan Negeri Sembilan 13 kompaun (RM130,000).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 5,675 pelbagai aduan telah diterima oleh KSM melalui aplikasi Working For Workers (WFW) kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) setakat Ahad lalu.

Menurutnya, majikan yang tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah kekal dengan aduan tertinggi iaitu sebanyak 2,292 kes.

"Selain itu, terdapat juga majikan yang membuang pekerja tanpa mengikut prosedur dan kita akan mengambil tindakan mengikut Akta Buruh.

"Mahkamah Perusahaan dan Jabatan Pembangunan Kerja akan terlibat secara langsung untuk menyiasat isu ini antara majikan dan pekerja," ujarnya.

Tambahnya, KSM telah menyelesaikan 4,105 aduan WFW setakat ini.