X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada ADUN Bersatu tarik sokongan

Osman Sapian
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor yang diterajui UMNO.

ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian berkata, tiada ADUN Bersatu di negeri ini yang akan menarik sokongan seperti didakwa ADUN Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh.

Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, beliau telah dihubungi beberapa ADUN Bersatu yang dikaitkan dengan dakwaan akan menarik sokongan itu, namun masing-masing menyatakan tidak mengetahui berhubung dakwaan tersebut.

"Desas-desus mengenai empat ADUN Bersatu Johor yang akan menarik sokongan daripada kerajaan campuran PN adalah tidak benar. ADUN yang terlibat ada menghubungi saya. Saya tidak tahu kerana tiada yang menghubungi saya untuk menarik sokongan daripada kerajaan," katanya.

Menurutnya, dakwaan Che Zakaria itu mungkin sekadar pandangan peribadi.

Bagaimanapun, katanya, empat ADUN berkenaan tidak pernah melantik Che Zakaria sebagai jurucakap mereka kerana isu tersebut boleh mencetuskan kekalutan.

"Jika betul usaha tarik sokongan itu berlaku, pastinya ADUN Bersatu akan akan merujuk saya sebagai bekas Pengerusi Bersatu Johor terlebih dahulu untuk meminta pandangan," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di sini pada Selasa.

Osman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan dakwaan menarik sokongan itu timbul disebabkan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dengan ADUN Bersatu yang renggang.

"Beberapa tindakan Hasni menimbulkan perasaan tidak puas hati, antaranya pelantikan ketua kampung baharu dan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT) yang hanya mementingkan UMNO, sekali gus dilihat meminggirkan Bersatu.

"Seharusnya sebagai Menteri Besar, Hasni perlu mewujudkan hubungan harmoni setiap parti yang membentuk gabungan kerajaan PN Johor, sekali gus dapat mengelakkan keadaan politik tidak stabil," ujar beliau.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan empat ADUN Bersatu Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan PN Johor sekiranya UMNO masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Pusat.

Che Zakaria mendakwa empat ADUN itu sedia menarik sokongan pada bila-bila masa, sekali gus akan mengakibatkan kerajaan PN Johor runtuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat ADUN Bersatu Johor sedia tarik sokongan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!