Utamakan pengambilan pegawai perubatan berstatus tetap

Mahathir Mohd Rais
Mahathir Mohd Rais
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan digesa untuk menyelesaikan isu perjawatan pegawai perubatan kontrak pada kadar segera dengan menyerap mereka ke dalam perkhidmatan tetap dalam usaha mengawal penularan Covid-19 yang semakin kritikal.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, isu perjawatan pegawai perubatan wajar diberi keutamaan berbanding lantikan penjawat awam di sektor lain lebih-lebih lagi apabila sistem perubatan negara hampir gagal.

Katanya, pihak kerajaan Persekutuan harus segera mencari formula terbaik untuk menyerap pegawai perubatan kontrak kepada perkhidmatan tetap sebagai satu motivasi buat petugas barisan hadapan berkenaan untuk terus berjuang menghadapi wabak Covid-19.

“Pengwujudan jawatan tetap untuk pegawai perubatan harus dilaksanakan pada kadar segera dan dijadikan keutamaan. Keluhan dan rintihan daripada barisan hadapan ini seolah-olah kurang mendapat perhatian.

“Bukan hanya dengan kata pujian dan terima kasih sahaja, sebaliknya kita perlu menyokong keperluan mereka untuk bertugas termasuk memberi jaminan dan menjadikan mereka sebagai pegawai perubatan berstatus tetap,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan pengambilan guru baharu oleh pihak kerajaan berbanding pegawai perubatan memandangkan situasi sistem perubatan negara yang semakin kritikal.

Pada sama, Mahathir turut menggesa penyelarasan antara agensi-agensi kerajaan dan kementerian yang terbabit apabila mereka seolah-olah gagal untuk menyusun keutamaan yang diberikan dalam keadaan darurat ketika ini.

“Kita boleh beri pelbagai alasan, tetapi mereka (petugas perubatan) dan rakyat bercakap, kenapa pengambilan guru dibuat dan ditambah sedangkan sektor pendidikan seperti tidak beroperasi berbanding sektor kesihatan yang begitu kritikal?

Artikel Berkaitan:

“Penyelarasan antara kementerian perlu dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya dapat menguruskan keutamaan di ketika kegawatan ini,” tegas beliau.