Program vaksinasi Covid: Analisis luar negara tidak guna fakta terkini

Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sesetengah penganalisis luar negara tidak memberi gambaran tepat mengenai program vaksinasi Covid-19 di Malaysia kerana tidak menggunakan fakta terkini dalam membuat analisis perbandingan mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurutnya, maklumat daripada sebuah 'vaccine tracker' atau penjejak vaksin pada April lalu mengunjurkan Malaysia mengambil masa 4.9 tahun untuk mencapai jumlah vaksinasi 75 peratus populasi.

"Namun, jika tracker yang sama dibuka pada hari ini, tempoh 4.9 tahun itu telah berubah menjadi lima bulan. Unjuran lima bulan ini adalah berdasarkan 262,000 dos sehari, manakala jika berdasarkan 375,000 dos sehari, jangkaan 75 peratus vaksinasi boleh dicapai dalam tempoh tiga hingga empat bulan," katanya.

Saifuddin dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, ketika penjejak tersebut menerbitkan unjurannya pada April lalu, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan peta perancangan vaksinasi namun maklumat itu tidak digunakan dalam analisis tersebut.

"Ini menyebabkan penilaian terhadap kedudukan Malaysia ketika penerbitan itu adalah tidak baik. Analisis data secara selektif seperti ini tidak memberi gambaran realiti yang sebenarnya dan boleh menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat," katanya.

Saifuddin berkata, walaupun kini pihak terbabit telah memperbetulkan maklumat tersebut namun penyebaran maklumat yang tidak tepat telah berlaku.

Menyeru semua supaya terus saling bekerjasama dalam pelaksanaan vaksinasi Covid-19 negara dengan berkongsi maklumat yang sahih, beliau berkata vaksinasi adalah jalan terbaik bagi melindungi nyawa serta membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 telah mencapai prestasi yang memberangsangkan dengan sejumlah 11 juta suntikan telah berjaya diberi dan sedang menuju ke arah sasaran 80 peratus imuniti kelompok pada akhir tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Memetik data Kementerian Kesihatan (KKM), Saifuddin berkata, kadar vaksinasi Malaysia bagi setiap 100 orang adalah lebih baik daripada sebilangan negara termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan dan United Kingdom. - Bernama