TMJ rasmi Festival Perarakan Chingay

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan memalu gong sebagai simbolik merasmikan Festival Perarakan Chingay 2019 di Jalan Wong Ah Fook hari ini. - Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan dan menyaksikan Festival Perarakan Chingay 2019 di Jalan Wong Ah Fook, di sini, malam ini.

Ketibaan baginda pada jam 9 malam, disambut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung dan Presiden Persatuan Tionghua Johor Bahru, Datuk Seri Tey Kim Chai.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Kebudayaan ngeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah.

Tunku Ismail kemudiannya berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Festival Perarakan Chingay 2019 dengan memalu gendang di pentas utama.

Festival yang memasuki tahun ke-149 penganjurannya itu membawa maksud yang signifikan kepada masyarakat Tionghua kerana menggambarkan semangat permuafakatan yang kukuh antara kelima-lima suku dialek iaitu Teochew, Hokkien, Hakka, Guangsiew dan Hainan.

Chingay dirai setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina.

Dianggarkan 300,000 pengunjung termasuk pelancong asing hadir menyaksikan festival malam ini yang merupakan acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri Johor.

Perarakan yang membabitkan 17 kereta berhias sejauh kira-kira 7.8 kilometer berkenaan, bermula dari Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek hingga ke Kuil Kuno di Jalan Trus, di sini.

Orang ramai turut dihiburkan dengan pertunjukan bunga api dan pelbagai tarian tradisional serta kebudayaan masyarakat Cina dan persembahan nyanyian. - Bernama