Che' Puan Besar Khaleeda dilantik Pro-Canselor UTM

Che' Puan Besar Khaleeda dilantik sebagai Pro-Canselor baharu UTM berkuat kuasa semalam hingga 11 Julai 2024. - Foto UTM
Che' Puan Besar Khaleeda dilantik sebagai Pro-Canselor baharu UTM berkuat kuasa semalam hingga 11 Julai 2024. - Foto UTM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam telah dilantik sebagai Pro-Canselor baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkuat kuasa semalam hingga 11 Julai 2024.

Menurut kenyataan UTM, istiadat pemasyhuran Che' Puan Besar Khaleeda dijadual berlangsung pada 23 Oktober ini sempena Majlis Konvokesyen Ke-64 UTM.

"Pihak UTM merafak sembah tahniah dan menjunjung kasih di atas perkenan Yang Amat Mulia Che' Puan Besar Khaleeda untuk menerima lantikan sebagai Pro-Canselor UTM.

"Dengan pelantikan ini, UTM yakin baginda akan dapat menyumbang dalam usaha ke arah merealisasikan misi UTM untuk menjadi peneraju dalam pembangunan modal insan dan teknologi inovatif demi pengkayaan khazanah negara selain meneruskan khidmat kepada masyarakat selaras dengan inisiatif ‘UTM Mensejahterakan Kehidupan’," menurut UTM dalam kenyataan pada Selasa.

Che' Puan Besar Khaleeda yang dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Hospital Besar Kuala Lumpur, aktif dalam pelbagai aktiviti kemanusiaan selain menjadi Penaung DiRaja Persatuan Bola Jaring Negeri Johor dan Persatuan Badminton Negeri Johor.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Selangor pada 2001 hingga 2003, seterusnya melanjutkan pengajian di Sekolah St. George's Hanover Square, London (2003 hingga 2004), Sekolah Menengah Westminster Academy, London (2004 hingga 2008) dan Sekolah Sri Utama, Kuala Lumpur (2010).

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selamat diijab kabul dengan Che' Puan Besar Khaleeda di Istana Bukit Serene pada 24 Oktober 2014. Pasangan diraja itu kini dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua putera dan dua puteri. - Bernama

Artikel Berkaitan: