Premis memproses padi disyaki curi air diserbu

SPAN telah menyita semua punca sambungan air di premis berkenaan kerana disyaki membuat penyambungan secara haram.
SPAN telah menyita semua punca sambungan air di premis berkenaan kerana disyaki membuat penyambungan secara haram.
A
A
A

NILAI - Suruhanjaya Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah premis memproses padi di sini kerana disyaki membuat penyambungan air secara haram.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, serbuan yang dilakukan pada minggu lalu itu mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan ‘Nipple’ jenis GalvanisedIron (GI) bersaiz 21mm tanpa melalui sebarang meter.

Menurut beliau, bekalan air yang didapati daripada sambungan tidak sah itu dikenal pasti digunakan untuk kegunaan harian penghuni premis tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 89(9)Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

"Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.

Norzita berkata, ujian klorin yang dilakukan di lokasi berkenaan turut terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik SAINS.

"Pihak SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti dan mengeluarkan notis makluman kesalahan kepada penghuni premis berkenaan," katanya.

Beliau berkata, SAINS akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes yang melibatkan pengguna komersil mahupun domestik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun NonRevenueWater (NRW).