Pelan Pemulihan Negara pimpin Malaysia keluar daripada pandemik

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin bahawa strategi yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan membantu memimpin Malaysia untuk keluar daripada krisis Covid-19.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini, tiada satu pun penyelesaian yang sempurna untuk membolehkan Malaysia keluar daripada tekanan ini dan menghalang pelaksanaan kawalan pergerakan untuk selama-lamanya.

“Saya sangat yakin Malaysia akan dapat mengatasinya seperti yang telah dilakukan dalam banyak krisis terdahulu, menerusi daya tahan kita yang terbukti dan semangat kerjasama rakyat Malaysia yang waja,” katanya dalam artikel yang diterbitkan di akhbar harian Singapura, The Straits Times pada Selasa.

Menurut Tengku Zafrul, ribuan rakyat Malaysia telah menjadi sukarelawan di pusat-pusat vaksinasi dan program sokongan sosial yang diwujudkan oleh kerajaan.

“Disertai dengan usaha untuk memperhalusi pengurusan kes Covid-19 semasa, meningkatkan vaksinasi dan menyokong golongan rentan, ia jelas menunjukkan, ini bukanlah isyarat bahawa negara ke arah taraf negara yang gagal, sebaliknya, sebagai negara yang bertekad untuk memerangi pandemik ini.

“Kegagalan bukanlah satu pilihan. Insya-ALLAH, Malaysia akan menangani krisis ini bersama-sama dan keadaan yang lebih baik akan wujud pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, cabaran yang dihadapi Malaysia pada masa ini telah mendorong penilaian yang tidak adil bahawa Malaysia ‘menjadi sebuah negara yang gagal.’

Bagaimanapun, beliau berkata tanggapan itu ada kelemahannya.

Artikel Berkaitan:

“Mendakwa Malaysia dalam keadaan berisiko untuk menjadi negara yang gagal, menidakkan kejayaan kerajaan dalam meningkatkan kadar vaksinasinya.

“Setakat ini, 3.1 juta individu atau lebih 10 peratus daripada penduduk dewasa di Malaysia telah menerima vaksin lengkap,” katanya sambil memaklumkan Penjejak Vaksin Covid-19 Bloomberg, jelas menunjukkan bahawa kadar pemvaksinan adalah semakin baik.

“Kini, ia akan mengambil masa lima bulan untuk mengimunkan 75 peratus daripada penduduk berbanding anggaran 4.5 tahun yang dibuat pada April,” katanya.

Memetik laman web World In Data, beliau berkata, setakat 10 Julai 2021, Malaysia telah menjadi antara negara utama di dunia yang memberikan vaksinasi harian melebihi China, Britain, Perancis dan Jerman.

“Kini, bekalan yang mencukupi akhirnya diterima. Kita telah berusaha sebaik mungkin dan bekerjasama dengan kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat untuk pemvaksinan secara besar-besaran,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, PPN yang diumumkan baru-baru ini adalah pelan dinamik yang bergantung kepada data masa nyata untuk mengesan nilai ambang penting dalam memastikan jalan keluar secara sistematik daripada pandemik ini.

Sehingga kini, katanya, tujuh negeri telah memenuhi tiga petunjuk utama yang membolehkan negeri-negeri berkenaan untuk beralih kepada Fasa Kedua dalam PPN, melibatkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

"Indikatornya merangkumi tahap penularan Covid-19 dalam masyarakat, tindak balas sistem penjagaan kesihatan awam dan kadar vaksinasi ke atas populasi.

"Melihat kepada varian Delta yang lebih agresif yang telah merebak di Asia Tenggara, cabaran untuk menangani pandemik ini sudah menjadi lebih kritikal, oleh itu, kami terpaksa menggunakan strategi yang lebih agresif seperti meningkatkan kawalan pergerakan di kawasan panas (hotspot) dan ujian yang disasarkan," katanya.

Mengulas mengenai gerakan 'bendera putih' yang mendapat kritikan segelintir pihak yang mendakwa ia adalah bukti kegagalan negara ini, beliau berkata, tuduhan itu terlepas fakta yang paling penting iaitu demokrasi masih hidup di Malaysia selain tidak mengambil kira psike sosiopolitik dan konteks sejarah masyarakat di Malaysia.

"Saya yakin ramai saintis sosial dan politik ‘bingung’ mengenai bagaimana satu kempen yang mencerminkan keprihatinan masyarakat untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan, boleh dikaitkan dengan keadaan taraf negara yang gagal," katanya.

Malah, Tengku Zafrul berkata, walaupun dibebani hutang legasi, masalah struktur sosio-ekonomi dan ketidakpastian politik, kerajaan tetap mengeluarkan RM38 bilion dalam bentuk bantuan langsung serta subsidi pada tahun lepas, manakala pada 2021, kerajaan memperuntukkan RM45 bilion dan baki sebanyak RM28 bilion masih sedang diagihkan.

Pembayaran tersebut telah membantu rakyat Malaysia yang bekerja serta golongan kelas menengah, menyokong 330,000 majikan dan menyelamatkan lebih 2.7 juta pekerjaan di negara ini, manakala pengangguran telah dikurangkan daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.5 peratus menjelang Mei tahun ini.

"Adakah semua fakta ini menggambarkan keadaan ‘negara yang gagal,'?" katanya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk ahli parlimen pembangkang untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada rakyat yang memerlukan, termasuk Program Bakul Makanan bernilai RM100 juta baru-baru ini.

Beliau berkata, pada 1 Julai lepas, kerajaan sekali lagi melancarkan program bantuan makanan sebanyak RM100 juta untuk kira-kira 300,000 penduduk miskin bandar melalui e-tunai, yang membolehkan mereka membeli barang keperluan di pasaraya serta kedai makanan yang menjadi rakan kongsi di seluruh negara.

"Walaupun terdapat banyak kemungkinan dan sesuatu yang tidak diketahui termasuk landskap politik yang mencabar sejak awal pandemik, kerajaan telah melakukan yang terbaik dan akan terus melindungi kehidupan serta mata pencarian, sama seperti yang dibuat oleh negara-negara maju yang menghadapi krisis yang sama," katanya. - Bernama