Gubal segera undang-undang wajibkan ahli Parlimen isytihar harta

Shamshun Baharin
Shamshun Baharin
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan undang-undang yang mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka digubal segera.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, langkah itu perlu bagi membolehkan tindakan dan hukuman lebih keras diambil ke atas ahli politik yang gagal berbuat demikian.

"Buat masa ini, kita tidak mempunyai satu undang-undang khas yang mewajibkan pengisytiharan harta, jadi SPRM tidak boleh melakukan sebarang pengesahan berhubung dokumen pengisytiharan yang kami terima.

"Pada pandangan saya, kita wajar mencontohi negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan pengisytiharan harta.

"Sekiranya gagal membuat pengisytiharan harta, tindakan bawah undang-undang boleh dikenakan," katanya pada sidang akhbar secara maya pada Selasa.

Tambahnya, sebagai agensi penguat kuasa, SPRM bersedia melaksanakan undang-undang yang dipertanggungjawabkan jika ia dilaksanakan nanti.

"Pengisytiharan harta ini bermula pada tahun 2018 melalui pembentangan dalam mesyuarat dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) dan secara dasarnya kerajaan pada ketika itu bersetuju dan meminta SPRM menyediakan platform," katanya.

Jelasnya, pada 2019, Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara sebulat suara meluluskan usul yang mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada Yang Dipertua dewan masing-masing dan satu salinan kepada SPRM

Artikel Berkaitan:

"SPRM memainkan peranan sebagai 'custodian' (penjaga) dalam hal ini. Suruhanjaya ini akan memaparkan di Portal Pengisytiharan Harta dalam tempoh tiga bulan selepas diisytihar," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Shamshun Baharin turut memaklumkan setakat Selasa, 22 daripada 220 ahli Parlimen termasuk seorang timbalan menteri yang ada ketika ini belum mengisytihar harta mereka.

Katanya, jumlah ahli Dewan Negara yang belum mengisytihar pula ialah 26 daripada jumlah keseluruhan 65 orang orang.