Pulau Pinang berusaha untuk beralih ke fasa ketiga PPN

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini perlu mengoptimumkan kapasiti pengoperasian masing-masing bagi memastikan sasaran 40 peratus penduduk Pulau Pinang lengkap menerima dua dos suntikan tercapai.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, usaha itu perlu bagi membolehkan negeri ini beralih ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ogos.

Berdasarkan operasi PPV ketika ini, beliau berkata, kapasiti maksimum dos harian dilihat mampu mencecah sekurang-kurangnya 20,000 suntikan seperti diperlukan.

"Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Pulau Pinang perlu memastikan sasaran tersebut dicapai.

"Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang - Pengurusan Covid-19 yang bersidang pagi ini (Selasa) turut dimaklumkan bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa tiga bagi Pulau Pinang juga telah bermula pada minggu ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kon Yeow berkata, bagi memastikan hasrat peralihan ke fasa ketiga PPN tercapai, kerajaan negeri meminta seluruh rakyat Pulau Pinang bersama-sama berganding bahu memastikan dua indikator ambang iaitu purata tujuh hari kes harian dan keupayaan sistem kesihatan awam di bawah PPN terus berada di bawah paras ditetapkan.

Katanya, polis di negeri ini turut memberi komitmen dalam mengambil tindakan tegas terhadap premis termasuk kilang yang didapati memalsukan maklumat supaya boleh beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan: