Perak mula suntikan vaksin kepada gelandangan

Wan Norashikin (kanan) menyantuni seorang warga emas yang ditempatkan di PPG Sementara Kinta pada Selasa.
Wan Norashikin (kanan) menyantuni seorang warga emas yang ditempatkan di PPG Sementara Kinta pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Perak memulakan program pemberian vaksin Covid-19 kepada gelandangan dengan menyenaraikan 24 penghuni Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) Sementara Kinta dekat sini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pemberian vaksin itu dijadualkan bermula minggu ini membabitkan kumpulan pertama seramai 14 gelandangan berusia lingkungan 31 hingga 82 tahun.

Menurut beliau, baki 10 lagi gelandangan akan diberikan suntikan secara berperingkat selepas saringan dibuat Jabatan Kesihatan Daerah mengikut kesesuaian tahap kesihatan dan kesediaan diri masing-masing.

"Bagi fasa pertama, kita telah senaraikan 14 gelandangan yang menginap di PPG ini untuk diuruskan diberikan vaksin dalam minggu ini juga sekiranya semua berjalan lancar. Mereka yang terdiri 13 lelaki dan seorang wanita ini kita senaraikan kerana telah benar-benar dikenal pasti tahap kesihatan dalaman dan luaran.

"Kumpulan yang disenaraikan dalam fasa kedua pula masih diletakkan di bawah pemantauan untuk kita kenal pasti latar belakang dan penyakit dihadapi.

"Sekiranya dapat dipastikan mereka selamat dan bersedia, maka kita akan teruskan dengan pemberian vaksin fasa kedua dan seterusnya pula," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian PPG berkenaan yang beroperasi di Wisma Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cawangan Perak di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pemberian vaksin itu adalah satu daripada usaha kerajaan negeri memberikan perlindungan kesihatan kepada gelandangan sekaligus mengelak kumpulan terbabit menjadi ejen penyebar wabak kepada masyarakat.

Katanya, berdasarkan rekod pemantauan dibuat, majoriti besar gelandangan tidak mempunyai kesedaran secara umum mengenai kepentingan vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Jika mereka kekal jadi gelandangan, kita tak tahu sama ada mereka ini dah daftar menerusi MySejahtera atau tidak.

"Kerana itu, apabila mereka berada di sini (PPG), mereka diberikan pengetahuan betapa pentingnya jaga kesihatan dan mendapatkan vaksin supaya mereka dapat hadapi kehidupan yang lebih sihat selepas ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Norashikin berkata, setakat ini hanya seorang gelandangan disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan di PPG itu 6 Jun lalu dan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan susulan.

Katanya, penghuni dan kontak rapat lain pula menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dan telahpun kembali ditempatkan di PPG terbabit pada 16 Jun lepas.

"Sepanjang tempoh perlindungan ini, penghuni telah diberi pemeriksaan kesihatan berkala oleh pegawai perubatan. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah melakukan profiling gelandangan untuk membantu mengesan waris supaya mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga," katanya.

PPG Sementara Kinta mula beroperasi pada 5 Jun lalu dan menerusi dua operasi menyelamat gelandangan di 14 kawasan hotspot sekitar bandar raya Ipoh, seramai 63 gelandangan daripada pelbagai latar belakang berjaya diselamatkan.

Daripada jumlah itu, 24 orang ditempatkan di PPG, sementara yang lain telah dirujuk kepada jabatan antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Hospital Bahagia Ulu Kinta, JKM dan ada yang diambil oleh waris.