X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

Olimpik: 90 peratus atlet negara telah diuji, bebas doping

Gambar hiasan - Foto AFP
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 90 peratus atlet negara yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula 23 Julai ini, telah diuji dan kesemuanya didapati bebas daripada penggunaan bahan terlarang.

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Azura Abidin berkata, setakat ini seramai 27 daripada 30 atlet selesai menjalani ujian anti-doping sebelum bertolak ke Jepun, manakala bakinya dijangka menjalani ujian dalam masa terdekat.

Beliau berkata, seorang daripadanya sedang menjalani kuarantin selepas pulang daripada kejohanan luar negara manakala ujian doping bagi dua lagi atlet yang berada di luar negara dilaksanakan oleh pihak Persekutuan Sukan Antarabangsa (IF).

“Kesemua atlet yang layak wajib menjalani ujian doping sama ada di bawah NADO (National Anti-Doping Organisation) ataupun IF masing-masing. Kami mula melaksanakan ujian doping kepada atlet sejak Mei lalu.

“Ia berdasarkan penilaian risiko dan pelan agihan ujian Adamas, berpandukan International Standard for Testing and Investigations (ISTI) yang dikeluarkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA),” katanya pada Selasa.

Pada masa sama, Azura turut mengingatkan para atlet bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa sahaja bahan yang diambil, sama ada cubaan untuk mengambil atau dijumpai di dalam sistem (tubuh) masing-masing.

“Sekiranya terdapat atlet yang merasa terancam, mereka berhak untuk membuat laporan kepada Adamas dan secara tidak langsung, diri dan maklumat mereka selamat dan dirahsiakan mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711),” katanya

Ditanya mengenai risiko sabotaj, Azura berkata, WADA telah memperkenalkan polisi ‘whistleblower’ yang memberikan hak kepada atlet sekiranya wujud unsur sabotaj atau aktiviti melibatkan gejala doping.

Menurutnya, polisi itu antara lain memberikan pendidikan mengenai hak-hak untuk melindungi diri mereka seperti keadilan untuk bertanding, kebebasan bersuara dan perlindungan hak peribadi.

“Sekiranya terdapat atlet yang merasa terancam, mereka berhak untuk membuat laporan kepada Adamas dan secara tidak langsung, diri dan maklumat mereka selamat dan dirahsiakan mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 1971),” katanya.

Azura berkata, Adamas juga meneruskan program kesedaran dan pendidikan anti-doping secara maya di sebalik pandemik Covid-19 yang menyukarkan ia diadakan secara fizikal.

Ia termasuk program Anti-Doping Education and Learning (ADEL), program outreach, serta pendidikan secara maya melibatkan ciri ubat berdaftar dan kesan sampingan pengambilan steroid.

Malaysia akan diwakili 30 atlet dalam 27 acara melibatkan 10 jenis sukan bagi Olimpik kali ini.

Kumpulan pertama atlet terdiri daripada empat pelayar telah berlepas ke Tokyo pada 8 Julai lalu manakala kumpulan kedua dan ketiga dijadualkan berlepas pada 17 dan 25 Julai ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!