X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas menangis terima bantuan Sultan Johor

Salah seorang penerima terharu dengan kurniaan bantuan makanan dan sumbangan peribadi daripada Sultan Ibrahim. Foto: RPO
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang wanita warga emas tidak dapat menahan sebak kerana tidak menyangka mendapat kurniaan bantuan makanan dan sumbangan peribadi daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di kediamannya di Jalan Camar 13, Taman Perling pada Selasa.

Jayuksusti, 67, dan suaminya, Mohd Tahir Salleh, 72, merupakan antara 303 keluarga di Mukim Pulai dan Mukim Bandar yang menerima kurniaan bantuan makanan daripada Sultan Johor menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Bantuan itu disampaikan wakil baginda, Mejar Cina Datuk David Wong dengan diiringi Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Datuk Abd Rashid Kasman di Dewan Raya Taman Perling.

Jayuksusti yang menetap bersama suaminya, Mohd Tahir berkata, mereka hilang pendapatan apabila tiga anaknya yang bekerja di Singapura turut kehilangan pekerjaan.

Penerima bersama bantuan makanan kurniaan Sultan Johor. Foto: RPO
Penerima bersama bantuan makanan kurniaan Sultan Johor. Foto: RPO

“Suami saya pun sudah berusia dan sebelum ini bekerja membaiki rumah secara kecil-kecilan, namun disebabkan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerja pun sudah berkurangan, malah sewa rumah juga sudah beberapa bulan tertunggak.

“Saya tidak mampu berkata-kata, syukur Alhamdulillah. Moga ALLAH SWT panjangkan usia baginda Tuanku Sultan dan sentiasa murahkan rezeki baginda. Sultan Johor banyak membantu rakyat susah,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).

Seorang lagi penerima bantuan, How Lam Mah, 65, yang hidup keseorangan diri dengan mengutip kotak-kotak kosong, turut berterima kasih di atas kurniaan yang diterima daripada Sultan Ibrahim.

“Disebabkan faktor usia, saya tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat dan mengutip kotak-kotak kosong untuk dijual. Hasil jualan hanya beberapa ringgit sehari, cukup untuk membeli makanan harian,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!