Pejuang nafi bekerjasama dengan Bersatu

Kenyataan media Pejuang
Kenyataan media Pejuang
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menafikan parti itu akan kembali bekerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin berkata, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas menolak dakwaan itu.

Menurutnya, Biro Politik juga tidak pernah berbincang mengenai kerjasama tersebut dan fokus kepada perbincangan menangani Covid-19 dalam kerangka Majlis Pemulihan Negara yang dicadangkan oleh parti.

"Terdapat beberapa cubaan daripada pelbagai pihak yang cuba mencalar reputasi dan memberi persepsi seolah-olah Pejuang akan bekerjasama dengan Bersatu.

"Tindakan ini tidak bertanggungjawab dan merupakan berita palsu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Ulya Aqamah, tuduhan kerjasama tersebut juga dianggap tidak munasabah kerana pihaknya bertungkus-lumus berusaha mendapatkan kelulusan parti.

Mengulas lanjut mengenai konspirasi pendaftaran Pejuang, beliau menjelaskan Pejuang didaftarkan pada 8 Julai selari dengan keputusan Mahkamah yang memberi 14 hari kepada Kementerian Dalam Negeri untuk membuat keputusan rayuan berkenaan.

Menurutnya, tiada perbincangan belakang atau percaturan politik dan menyifatkan keputusan tersebut adalah hasil keputusan mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Kami fokus kepada berbincang mencari jalan penyelesaian kepada Covid-19 dan masalah kesihatan, ekonomi serta sosial yang menjadi keutamaan rakyat Malaysia," katanya.