Ekonomi Malaysia di landasan pemulihan

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia kini berada di laluan pemulihan dan diunjur mencatatkan pertumbuhan lebih baik tahun ini, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, prospek ekonomi lebih positif itu didorong oleh peningkatan permintaan global, perbelanjaan sektor awam dan swasta lebih tinggi selain sokongan dasar yang berterusan.

“Ini (prospek lebih cerah) juga akan ditunjukkan dalam pemulihan situasi pasaran tenaga buruh dan pengeluaran lebih tinggi dalam sektor pembuatan, khususnya elektrik dan elektronik, serta minyak dan gas,” katanya dalam ucaptama di webinar Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2021 pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.

Mohamed Azmin yakin berasaskan ekonomi terbuka Malaysia, peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi akan lebih disokong oleh kitaran meningkat teknologi global yang lebih baik, sokongan dasar daripada pelbagai langkah fiskal dan monetari termasuk pakej rangsangan ekonomi tambahan.

"Unjuran positif ini dikukuhkan lagi oleh jangkaan terbaru Bank Dunia bahawa ekonomi Malaysia berkembang pada 4.5 peratus pada 2021, walaupun semakan itu rendah berbanding unjuran Bank Negara Malaysia yang lebih teguh," katanya.

Beliau berkata, asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun kini berada dalam tempoh mencabar, didukung oleh struktur ekonomi yang pelbagai, yang teguh mendukung daya saing negara.

"Pada tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-12 dalam senarai Mudah Menjalankan Perniagaan menurut Bank Dunia; ranking ke-27 dalam Daya Saing Dunia berdasarkan kajian Institut Pembangunan Pengurusan serta keempat daripada 17 ekonomi sebagai hab pembuatan.

Artikel Berkaitan:

“Ini amat jelas kerana sektor perkhidmatan dan pembuatan kita masing-masing menyumbangkan 58 peratus dan 23 peratus kepada ekonomi ini manakala sektor komoditi pula menyumbangkan 14 peratus, sekali gus membuktikan sofistikated, kekukuhan dan kekompleksan ekonomi Malaysia kian meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, dalam melangkah maju, Malaysia telah merangka Aspirasi Pelaburan Nasional untuk berperanan sebagai rangka kerja dalam merancakkan kembali landskap pelaburan serta memacu daya saing negara bagi jangka panjang.

Justeru katanya, Malaysia berhasrat meningkatkan kekompleksan ekonomi dengan memastikan ekonomi negara semakin dibina berdasarkan industri berasaskan kemahiran, dengan keupayaan pengeluaran lebih ketara untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.

“Kita mahu mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia bagi memastikan warga dilengkapi dengan kemahiran yang secukupnya untuk masa depan.

“Kita juga mahu memperluas hubungan domestik melalui penyepaduan dengan ekonomi serantau, dan memperkasakan lebih banyak perniagaan tempatan untuk lebih menyertai rantaian nilai global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia turut mahukan pelaburan yang berminat untuk berkembang di rantau ASEAN.

Beliau berkata negara juga menumpukan pelaburan yang menyasarkan pembangunan kluster baharu dan sedia ada memandangkan ia berperanan penting dalam memacu limpahan ekonomi yang merupakan faktor utama dalam memberikan manfaat ekosistem holistik

“Kita mempunyai aspirasi untuk meningkatkan keterangkuman dalam menerajui pertumbuhan saksama negara, memastikan peluang yang adil dan perlindungan yang mencukupi buat rakyat.

“Aspirasi ini bertujuan membuka potensi penuh Malaysia, yang secara asasnya mengurangkan halangan akses serta lebih menyepadukan ekonomi,” katanya. - Bernama