Pemandu jengkaut didakwa ceroboh tanah, curi pokok getah


Tertuduh di bawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Tertuduh di bawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang pemandu jengkaut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan menceroboh dan mencuri pokok getah, dua tahun lalu.

Tertuduh B Sundranmuthy, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Difahamkan Sundranmuthy mengambil upah membersihkan sebuah kebun di Mukim Tanjung Minyak, namun tidak mengukur sempadan tanah yang dibersihkan itu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh bersama tiga yang masih bebas didakwa melakukan pencerobohan tanah milik Lee Kim Tian, 55, kira-kira jam 2.45 petang di lot tanah 135 dan lot 136 mukim berkenaan, 5 Oktober 2017.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM3,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencuri pokok getah milik mangsa pada waktu, tempat dan tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal mencadangkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan sementara Peguam Bela Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili tertuduh, merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pemandu jengkaut perlu menanggung adik-beradik yang masih belajar dengan pendapatan sebanyak RM2,300 sebulan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Muhammad Nazrin menawarkan jaminan RM2,700 kepada tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 3 April depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: