[EKSKLUSIF] DAP mungkin sokong Muhyiddin kekal PM: Tajuddin

Tajuddin (Gambar kecil) tidak menolak kemungkinan besar kerajaan PN dipimpin Muhyiddin akan menerima sokongan tidak dijangka daripada DAP bagi membolehkan beliau terus berkuasa.
Tajuddin (Gambar kecil) tidak menolak kemungkinan besar kerajaan PN dipimpin Muhyiddin akan menerima sokongan tidak dijangka daripada DAP bagi membolehkan beliau terus berkuasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan besar bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menerima sokongan DAP pada saat memerlukan.

Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan keputusan tidak dijangka itu mungkin diambil kerajaan PN dan DAP sekiranya UMNO berterusan mendesak Muhyiddin untuk meletak jawatan dalam masa terdekat.

Jelas beliau, secara logiknya kerajaan PN tidak akan menyerah kalah dengan begitu sahaja dan beliau yakin Muhyiddin akan sentiasa mempertimbangkan segala alternatif kerjasama dengan parti lain termasuk DAP bagi mengekalkan kuasa.

"Saya boleh cakap besar kemungkinan DAP akan sokong kerajaan PN kerana Muhyiddin terpaksa cari jalan lain untuk 'survive'...Takkan mereka rela mahu tumbang begitu sahaja.

"Pada saat UMNO putus menarik sokongan, PN tentunya masuh mahu berdiri tegak...Kalau sudah satu tiang seri roboh, kena cari tiang seri lain.

"Mungkin juga Muhyiddin boleh bentuk kerjasama dengan Warisan (Parti Warisan Sabah) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri. Alasan DAP boleh sokong Muhyiddin kerana mereka memang mahu melihat parti-parti Melayu di negara ini berpecah dan menjadi lemah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tajuddin berkata demikian bagi mengulas kandungan rakaman audio tular beliau sewaktu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu minggu lalu yang menyatakan kemungkinan kerajaan PN akan mendapat sokongan DAP sewaktu usul pengundian di Parlimen kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] Itu memang suara saya, kata Tajuddin

Artikel Berkaitan:

Luahan kebimbangan Tajuddin itu tercetus susulan beliau mempersoalkan apakah strategi muktamad UMNO untuk membentuk kerajaan baharu sekiranya parti itu berjaya menumbangkan kerajaan PN pada usul pengundian sidang Parlimen akan datang.

Pandangan Tajuddin itu turut diakui seorang ahli Parlimen UMNO yang mendakwa satu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (confidence and supply agreement) atau lebih dikenali CSA sedang dirundingkan di antara kerajaan PN dan DAP ketika ini.

Jelas sumber enggan dinamakan itu, perjanjian CSA berkenaan membolehkan DAP menyatakan sokongan terhadap sebarang usul pengundian dikemukakan dalam sidang Parlimen termasuk usul undi percaya kepimpinan Muhyiddin.

Mohd Redzuan Yusof
Mohd Redzuan Yusof

"Sebagai timbal balas, kerajaan akan memberikan peruntukan tahunan sewajarnya kepada ahli-ahli Parlimen DAP dengan beberapa pemimpin parti pembangkang itu mungkin dilantik untuk menganggotai jawatankuasa-jawatankuasa penting di peringkat Parlimen dan kementerian.

"Melalui perjanjian ini, DAP masih kekal dalam komposisi pembangkang dan tidak sesekali menyertai kerajaan PN sebagai rakan koalisi...cuma mereka berpandangan sebarang tindakan menukar kerajaan pada saat kritikal ini tidak sesuai.

"Secara tersirat, perjanjian ini dibuat susulan sebilangan besar pemimpin DAP dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bekerjasama dengan UMNO untuk menumbangkan kerajaan pada saat rakyat bergelut mendepani krisis Covid-19 dan sukar mencari makan," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof turut berkongsi pandangan sama dengan Tajuddin dan menyifatkan sebarang tindakan menukar kerajaan oleh mana-mana parti pembangkang pada saat genting ini adalah perbuatan kurang cerdik.

Tambah Ahli Majlis Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, meskipun ada dakwaan DAP akan bersikap berkecuali terhadap sebarang usaha menjatuhkan kerajaan PN, secara logiknya tanpa sebarang perjanjian CSA sekali pun, tindakan itu adalah perkara sepatutnya dilakukan bagi mengelakkan kemarahan rakyat.

"Kalau kata ada perjanjian CSA dengan DAP, saya tidak pasti...tetapi logiknya pada saat negara bergelut menangani krisis Covid-19, langkah pembangkang untuk bersolidariti dengan kerajaan bagi menyelamatkan rakyat yang terkesan dan susah amat penting.

"Saya difahamkan isu rundingan CSA dengan pembangkang timbul sejak bulan Oktober tahun lalu. Saya tidak tahu apa bentuknya, namun terpulanglah kepada pembangkang untuk merealisasikannya kerana semua ahli Parlimen ada kepandaian masing-masing untuk muhasabah segala usul dibentangkan kerajaan dalam sidang Parlimen.

"Kalau ada usul yang perlu penambahbaikan, kerajaan sedia untuk tambah baik demi kesejahteraan rakyat. Justeru, ruang perbahasan sewaktu sidang Parlimen amat mustahak untuk dijadikan asas perjanjian CSA antara dua pihak kelak," katanya.