Bicara kes rasuah Guan Eng bermula hari ini

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tiba di Mahkamah Sesyen di sini bagi menghadapi prosiding hari pertama kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu pada Selasa.

Ia dijadualkan berlangsung di hadapan Hakim Azura Alwi dengan pihak pendakwaan telah bersedia untuk mengendalikan kes dan akan memanggil beberapa saksi dari Pulau Pinang untuk memberi keterangan.

Kes ini akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo, Haijan Omar dan Ramkarpal Singh.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 13 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guang Eng, 60 didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Lim Guan Eng mohon kes rasuah dipindah ke Mahkamah Tinggi