Percikan bunga api iringi penamatan awal PKPD Mentari Court

Percikan bunga api sebagai tanda terima kasih penduduk Mentari Court kepada 'frontliner' yang bertugas.
Percikan bunga api sebagai tanda terima kasih penduduk Mentari Court kepada 'frontliner' yang bertugas.
A
A
A

PETALING JAYA - Percikan bunga api dan sorakan penduduk mengamatkan suasana di Apartment Mentari Court, PJS 8 di sini berikutan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada tengah malam tadi.

Lebih mengharukan apabila setiap penghuni turut menyalakan lampu telefon bimbit sebagai tanda ucapan terima kasih kepada 'frontliners' yang bertugas sepanjang 12 hari di situ.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan penamatan awal PKPD tersebut selepas proses saringan terhadap lebih 9,000 penduduk dijalankan dan vaksin diberikan kepada penerima yang sesuai.

“PKPD Mentari Court sebenarnya 14 hari hingga 14 Julai.

Bagaimanapun semua urusan saringan dan pemberian vaksin telah selesai, maka kita memohon kepada MKN supaya PKPD ini ditamatkan.

“Sepanjang 12 hari PKPD, 9,504 penduduk telah menjalani saringan kesihatan.

Daripada jumlah tersebut, 5,797 telah dibuat calitan Real-Time Revers Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan 419 orang atau 7.2 peratus daripada penduduk didapati positif,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Johary (tengah) ketika sidang media yang diadakan pada awal pagi Selasa.
Johary (tengah) ketika sidang media yang diadakan pada awal pagi Selasa.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Johary berkata, seramai 6,102 penduduk menerima dos pertama vaksin manakala 76 orang menerima suntikan kedua dan pihaknya turut menubuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang pertama seumpamanya di tengah-tengah kawasan PKPD Mentari Court.

“Yang dirujuk dalam CAC Mentari Court ini hanya 68 orang sahaja yang memerlukan rawatan lanjut di hospital serta perlu ke pusat kuarantin manakala selebihnya kuarantin di rumah masing-masing sahaja

“Daripada jumlah yang disaring, seramai 2,876 tidak diberikan vaksin, terdiri daripada mereka yang sudah divaksin, penduduk berusia kurang 18 tahun dan mereka yang mempunyai masalah alergi atau komorbid,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:PKPD Mentari Court: 127 individu disahkan positif Covid-19