PBT bakal terima geran RM35 juta laksana bandar rendah karbon

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) yang bernilai RM35 juta akan diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keutamaan akan diberikan kepada PBT yang telah melaksanakan program bandar rendah karbon (LCCF) serta menyertai program Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C) di peringkat kategori Zon Rendah Karbon.

"Ini adalah sokongan dan suntikan dana diberikan kepada PBT untuk memacu tindakan perubahan iklim di peringkat PBT dan akar umbi," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Bandar Rendah Karbon dan Pelancaran Dokumen Pelan Induk Rendah Karbon Negara secara maya pada Selasa.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, sinergi antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu dipertingkat dalam menyokong usaha dan inisiatif PBT melalui penyaluran sumber-sumber yang tersedia sama ada dari segi pembangunan kapasiti mahupun peruntukan kewangan.

"Sokongan itu amat penting bagi memacu PBT ke arah pembangunan mampan dan rendah karbon di kawasan pentadbiran masing-masing yang seterusnya akan menyumbang ke arah peningkatan kualiti hidup dan kelestarian alam sekitar.

"Kerajaan negeri juga perlu menyelaras pelaksanaan bandar rendah karbon dan menyokong usaha yang dilaksanakan di peringkat PBT dengan menyediakan peruntukan termasuk galakan penyertaan dalam program Cabaran LCC 2030," katanya.

Selain itu, beliau berkata, elemen bandar rendah karbon wajar dipertimbangkan oleh kerajaan negeri untuk diterapkan dalam perancangan pembangunan seperti rancangan struktur negeri.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun aktiviti-aktiviti dalam kawasan bandar merupakan penyumbang utama pelepasan gas rumah kaca (GHG), namun bandar-bandar juga memainkan peranan penting dalam tindakan perubahan iklim menuju ke arah penghuni bandar yang sejahtera dan bandar Malaysia yang lestari," katanya.

Muhyiddin berkata, kawasan bandar adalah di antara penyumbang terbesar pelepasan GHG ke atmosfera, kesan daripada aktiviti seperti pengangkutan, perindustrian dan pembuatan.

"Menurut laporan UN-Habitat, kawasan bandar walaupun hanya meliputi satu peratus dari muka bumi menghasilkan lebih daripada 70 peratus pelepasan GHG dan mewakili 78 peratus daripada keseluruhan penggunaan tenaga dunia.

"Dalam hal ini, langkah mitigasi bagi mengurangkan kadar pelepasan GHG serta langkah adaptasi bagi mengurangkan impak perubahan iklim dan pemanasan global perlu diberi perhatian yang sewajarnya," katanya.

Tambahnya, Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara yang dilancarkan akan memberi panduan yang lengkap kepada kerajaan negeri dan PBT dalam membangunkan bandar rendah karbon di kawasan pentadbiran masing-masing.

"Transformasi bandar-bandar di Malaysia kepada bandar rendah karbon akan membangunkan ekonomi hijau tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menarik minat pelaburan domestik dan antarabangsa.

"Di antara sektor yang akan mendapat manfaat dari usaha ini adalah sektor tenaga lestari, sektor mobiliti rendah karbon, sektor pengurusan sisa dan kitaran semula dan sektor kecekapan air," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru agar pihak berkepentingan terutamanya PBT menyambut baik usaha kerajaan dan memberikan kerjasama serta komitmen yang jitu dan berterusan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam melaksanakan transformasi ke arah bandar rendah karbon yang dibawa melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara.

"Saya amat yakin bahawa inisiatif ke arah bandar-bandar rendah karbon di Malaysia boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan menggunakan pendekatan bersepadu dan sistematik," katanya.