Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS.
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka agak rendah berbanding dolar AS walaupun harga minyak mentah telah mengukuh kerana kebimbangan global terhadap peningkatan kes Covid-19 terus mencetuskan aliran untuk mendapatkan US dolar sebagai pelindung yang selamat.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.1910/1935 berbanding dolar AS daripada 4.1900/1930 pada penutupan Isnin.

Penganalisis kanan pasaran OANDA, Edward Moya berkata, dengan kebanyakan negara masih lagi bergelut memerangi Covid-19, saham Amerika Syarikat meningkat tinggi kerana para pelabur terus memilih AS kerana percaya negara itu mampu pulih semula.

"Kes terus meningkat dengan varian Delta Covid-19 menular di kebanyakan negara yang kadar vaksinasi rendah dan ini berfungsi sebagai peringatan kepada seluruh dunia tentang betapa sukarnya untuk mengalahkan virus ini,” katanya pada Selasa.

Sementara itu, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, ringgit dijangka kekal antara RM4.18 dan RM4.19 memandangkan sentimen terus terjejas oleh jangkitan Covid-19 yang tinggi di negara ini.

"Namun, unit tempatan mungkin mendapat sokongan kerana Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC +) belum membuat kemajuan dalam merapatkan perpecahan antara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu yang menghalang kesepakatan untuk meningkatkan pengeluaran minyak minggu lalu.

"Ini menyebabkan bekalan minyak menjadi kurang dan menjuruskan kepada kenaikan harga minyak,” tambahnya.

Ketika ini, minyak mentah penanda aras Brent naik 0.24 peratus kepada AS$75.34 setong.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1012/1033 daripada 3.1003/1027, susut berbanding pound Britain kepada 5.8226/8260 daripada 5.8082/8123 dan menyusut berbanding euro kepada 4.9735/9764 daripada 4.9668/9704 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7969/7991 daripada 3.8053/8080 pada Isnin. - Bernama