Skim potongan gaji sasar kutip zakat RM6 juta

Abdul Hakim
Abdul Hakim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah melancarkan Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) secara dalam talian pada Isnin.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen tersebut dianjurkan bermula Julai sehingga Disember tahun 2021 bagi menarik lebih ramai kakitangan sektor swasta dan kerajaan khususnya di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat pendapatan secara bulanan melalui potongan gaji.

Menurutnya, ia juga sebahagian daripada galakan kepada pembayar sedia ada untuk mengekalkan dan menambah pembayaran zakat mereka di PPZ-MAIWP.

“Jumlah penerima bantuan zakat di Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada ketua keluarga meningkat sebanyak 35 peratus iaitu daripada 43,353 asnaf pada tahun 2019 kepada 59,419 penerima pada tahun 2020. Sepanjang tempoh enam bulan pertama pada tahun 2021, jumlah penerima telah meningkat sebanyak 47,483.

“Inilah masa yang sesuai untuk kita yang masih mempunyai pendapatan tampil membantu mereka yang kurang bernasib baik. Jika kutipan zakat meningkat maka lebih ramai asnaf yang dapat disantuni.

“Sehubungan itu, kami menyeru kepada semua umat Islam untuk bersama-sama berganding bahu membantu mereka yang kurang berkemampuan agar dapat keluar daripada kemiskinan di samping menyuburkan lagi harta,” katanya ketika melancarkan kempen tersebut di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan bayaran zakat sebanyak RM6 juta daripada 5,500 pembayar zakat menerusi kempen tersebut.

Norhafizah
Norhafizah

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, kadar tersebut telah dipertingkatkan daripada jumlah sasaran kutipan tahun lalu, yang mana pihak PPZ-MAIWP berjaya mengutip sejumlah RM15.1 juta berbanding sasaran asal sebanyak RM5 juta.

“Kami tidak boleh menyasarkan terlalu tinggi kerana ramai yang hilang pekerjaan dan pendapatan serta pelbagai masalah lain. Kita meletakkan sasaran tersebut supaya ia boleh dicapai dengan mudah.

“Kempen ini perlu dilakukan secara berterusan sebagai satu ingatan kepada mereka yang mungkin lupa dan alpa dengan kehidupan untuk terus membayar zakat,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan kempen tersebut, Abdul Hakim berkata, penyertaan dibuka kepada semua pembayar zakat melalui saluran Skim PZB sama ada pembayar baharu atau yang menambah jumlah potongan zakat.

Ujarnya, orang ramai boleh menyertai kempen tersebut melalui beberapa cara iaitu mendaftar secara dalam talian di laman web ptg.zakat.com.my, mengimbas kod QR kempen berkenaan atau mengisi borang secara manual di kaunter PPZ-MAIWP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya atau menerusi majikan masing-masing.

Selain itu, pembayar zakat yang bertuah turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti komputer riba, tablet, telekung eksklusif, dan e-dompet bernilai RM100 berserta produk asnaf untuk setiap seorang pemenang.

Hadir sama pada majlis pelancaran tersebut ialah pengacara terkenal, Nabil Ahmad dan pendakwah, Datuk Dr Norhafizah Musa yang turut berkongsi faedah membayar zakat menerusi potongan gaji bulanan serta menyeru kepada orang ramai untuk menyertai kempen tersebut.