'Doktor' dalang sindiket dadah ditahan

Suspek termasuk dalang utama pengedaran dadah dikenali sebagai 'Doktor' berjaya ditahan bersama syabu dalam serbuan di Sipitang.
Suspek termasuk dalang utama pengedaran dadah dikenali sebagai 'Doktor' berjaya ditahan bersama syabu dalam serbuan di Sipitang.
A
A
A

SIPITANG - Seorang lelaki dikenali sebagai 'Doktor' bersama dua rakannya ditahan selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di daerah ini.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir, di sini pada jam 11.30 pagi, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, ketika serbuan dua lelaki ditahan dan menemui peket plastik lut sinar pelbagai saiz di dalam satu kotak di atas meja.

Menurutnya, risikan dan maklumat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki dipercayai dalang utama sindiket pengedaran dadah itu.

"Suspek yang ditahan dikenali dengan nama gelaran Doktor @ Ajak dan berperanan sebagai pengedar syabu manakala dua lagi lelaki adalah ahli sindiketnya.

"Suspek dipercayai mengedar dalam bentuk set atau bal dengan berat 5.0 gram hingga 500 gram dengan harga RM20 hingga RM5,000 di sekitar daerah ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Suspek yang berjaya ditahan bersama syabu dalam serbuan di Sipitang.
Suspek yang berjaya ditahan bersama syabu dalam serbuan di Sipitang.

Champin berkata, dengan tertangkapnya suspek utama ini, polis dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah syabu di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Rampasan dadah syabu ketika serbuan bernilai RM10,000 dan siasatan turut mendapati suspek tidak pernah ditangkap selama ini.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis syabu," katanya.

Beliau berkata, kesemua semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan