X

Kindly register in order to view this article
!

Bebanan ini tidak boleh dibiarkan

A
A
ISU kesihatan mental sewaktu pandemik Covid-19 bukanlah suatu perkara yang baharu.

Perubahan terhadap sistem pendidikan termasuklah di institusi pengajian tinggi telah memberi impak kepada pelbagai pihak seperti pelajar, pensyarah dan pihak pengurusan.

Kesihatan mental dan emosi masa kini perlu diberikan perhatian serius bukan hanya kepada para pelajar, tetapi kepada para pensyarah dan ahli akademik yang lain.

Walaupun dalam situasi yang berbeza namun tekanan tetap dirasai. Tugasan hakiki pensyarah bukan hanya mengajar dalam kelas tetapi juga dibebani dengan tugasan luar kelas seperti pentadbiran, penyelidikan dan perundingan.

Dalam masa yang sama, pensyarah perlu menambah baik bahan pengajaran supaya ianya dapat disesuaikan dengan pembelajaran dalam talian dan perlu mempelbagaikan kaedah penyampaian supaya dapat memenuhi pelbagai keperluan pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Ini belum lagi termasuk hal-hal peribadi di rumah yang perlu diuruskan pada hari bekerja.

Hal ini menyebabkan ahli akademik juga terdedah kepada tekanan mental dan emosi.

Bagi pihak pelajar pula, persekitaran yang tidak kondusif akan memberikan tekanan yang berlebihan. Jumlah subjek dan tugasan yang diberikan semasa pembelajaran jarak jauh adalah sama dengan pembelajaran bersemuka.

Ada juga pelajar yang menggalas tanggungjawab yang besar ketika berada di rumah seperti menguruskan kerja-kerja rumah lalu menyebabkan mereka keletihan dan tidak mampu untuk menyiapkan tugasan dengan baik dan tidak dapat menghadiri kuliah dalam talian.

Hal ini dikhuatiri dapat menjejaskan prestasi akademik dan kebajikan pelajar.

Bagi mengelakkan tekanan berlebihan, para pelajar disaran untuk memaklumkan kepada pensyarah masing-masing tentang situasi yang sedang dihadapi.

Hal ini termasuk isu-isu yang mungkin terlalu peribadi yang mungkin orang lain tidak akan faham sekiranya tidak diberi penjelasan dengan baik.

Pensyarah pula perlu menunjukkan nilai budi bicara dan empati yang tinggi dalam situasi begini.

Pensyarah tidak perlu menjadi terlalu rigid dan menuduh pelajar terlalu manja atau membandingkan suasana zaman pensyarah belajar dengan sekarang kerana situasi yang dihadapi waktu ini amat berbeza dan tidak pernah dihadapi oleh orang lain.

Para pensyarah boleh menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan situasi masa kini dan tidak terikut dengan kaedah yang sama ketika kelas secara bersemuka.

Situasi dan kemudahan yang ada pada setiap pelajar sudah pasti berbeza yang memerlukan perhatian seorang pensyarah.

Sebaiknya, tinjauan awal dibuat bagi mendapatkan maklum balas daripada pelajar berkenaan dengan pendekatan pembelajaran yang dirasakan bersesuaian bagi memberi keselesaan tanpa mengabaikan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang telah digariskan oleh pihak universiti.

Pilihan mungkin boleh diberikan sama ada untuk menjalankan kuliah secara live atau rakaman, tugasan individu atau berkumpulan dan lain- lain.

Hal ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan tekanan dan mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

Di samping itu, pihak pengurusan institusi pengajian perlu meningkatkan pemantauan kesihatan mental para pelajar dan juga pensyarah secara berkala.

Pihak pengurusan boleh mewujudkan sistem kaunseling atas talian agar segala permasalahan dapat dipantau dan diselesaikan dengan baik.

Bebanan yang ditanggung itu tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa mendapatkan kaunseling dan nasihat dari yang pakar.

Apa pun situasi yang dihadapi sekarang ini adalah suatu yang di luar kawalan oleh kita semua. Apa yang penting setiap pihak perlu memainkan peranan yang berkesan dan mewujudkan toleransi yang tinggi.

* Dr Nurul Nadiah Zainol ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah FSPU dan Dr Muhammad Azwan Sulaiman Ketua Unit Komunikasi Korporat FSPU Universiti Teknologi Mara Shah Alam


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!