Bukan laluan mudah

Zii Jia antara prospek terbaik untuk menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Zii Jia antara prospek terbaik untuk menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
A
A
A

DUA wakil skuad badminton negara diketuai jaguh perseorangan, Lee Zii Jia dan beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diramal menghadapi laluan sukar hasil undian peringkat kumpulan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas pemain beregu handalan negara, Datuk Razif Sidek berkata, Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik harus lebih berwaspada dengan lawan mereka bagi mengelak tersingkir seawal peringkat kumpulan.

“Bagi saya laluan untuk Zii Jia cukup berliku kerana dia bakal menghadapi Chen Long pada pusingan kedua. Mungkin dia tidak ada banyak masalah untuk melepasi peringkat kumpulan.

“Cuma selepas aksi kumpulan itu, Zii Jia saya jangka akan berdepan dengan Cheng Long. Mungkin kita lama sudah tidak melihat permainan Cheng Long dan ini juga bahaya kepada Zii Jia.

“Jadi Zii Jia kena sentiasa bersedia dan berhati-hati di gelanggang jika benar dia dipertemukan dengan Cheng Long. Harap Zii Jia dapat beraksi sepertimana ketika dia menjuarai All England,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Atas kertas, Zii Jia diramal tidak menghadapi masalah untuk melepasi Kumpulan M yang turut dibarisi pemain berpengalaman Perancis, Brice Leverdez dan Artem Pochtarov dari Ukraine.

Begitupun, cabaran Zii Jia pada pusingan kedua amat berliku kerana dia perlu berdepan Cheng Long yang tampil selaku penyandang juara manakala seorang lagi pemain China, Shi Yuqi dijangka menantinya dalam aksi suku akhir.

“Dalam tempoh kurang dua minggu sebelum Olimpik Tokyo bermula, saya harap Zii Jia sudah membuat persediaan secukupnya dengan mengkaji kekuatan dan kelemahan lawannya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai peluang Aaron-Wooi Yik untuk menyumbang pingat di Tokyo, Razif berkata, gandingan negara itu perlu mendapat ‘kemenangan moral’ ketika berdepan bekas juara dunia dari Indonesia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan.

“Sama seperti Zii Jia, mereka juga akan menghadapi tugas lebih mencabar kerana awal-awal lagi diundi dalam satu kumpulan dengan Hendra Setiawan-Ahsan.

“Tapi jika mereka dapat mencipta kejutan awal ke atas beregu utama Indonesia itu, ia mungkin boleh jadi pembakar semangat untuk mereka melangkah lebih jauh,” jelasnya yang meraih gangsa bersama adiknya, Jalani pada Olimpik Barcelona 1992.

Selain bakal berdepan Hendra Setiawan-Ahsan, Aaron-Wooi Yik juga dijadualkan menentang pasangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Song Seo Jae dan Jason Anthony Ho-Shue-Nyl Yakura dalam aksi Kumpulan D.