Jualan borong, runcit meningkat 28.3 peratus pada Mei

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JUALAN perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan lonjakan nilai jualan 28.3 peratus tahun ke tahun kepada RM108.3 bilion pada Mei 2021 berbanding penguncupan 23.8 peratus pada Mei 2020, kata Jabatan Perangkaan.

Dalam kenyataan pada Isnin, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu disokong oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 31.2 peratus tahun ke tahun kepada RM53.4 bilion.

Beliau berkata, perdagangan runcit turut berkembang 17.3 peratus tahun ke tahun kepada RM43.3 bilion, manakala kenderaan bermotor turut menunjukkan peningkatan ketara iaitu 71.1 peratus tahun ke tahun kepada RM11.6 bilion.

"Walaupun nilai jualan perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun, jika dibandingkan dengan April tahun ini, subsektor ini mengalami penguncupan sebanyak 2.2 peratus disebabkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan dari 12 Mei hingga 7 Jun 2021,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan borong dan runcit merosot 2.5 peratus pada Mei 2021.

Sementara itu, beliau berkata indeks jualan runcit sebarang jenis produk melalui Internet yang menggambarkan aktiviti e-dagang, merekodkan pertumbuhan 15.8 peratus tahun ke tahun pada Mei 2021 daripada 22 peratus pada April 2021.

“Bagi pelarasan musim, indeks ini jatuh 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Dari segi indeks volum beliau berkata, perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan 27.2 peratus pada Mei 2021.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Uzir, pertumbuhan positif ini disokong oleh kenderaan bermotor yang meningkat 66 peratus tahun ke tahun, diikuti perdagangan borong dan perdagangan runcit, masing-masing naik 27.9 peratus tahun ke tahun dan 20.1 peratus tahun ke tahun.

“Bagi indeks volum pelarasan musim, ia menguncup 6.6 peratus bulan ke bulan,” katanya. - Bernama