X

Kindly register in order to view this article
!

Bagaimana AS kalah di Afghanistan

A
A
PADA malam 2 Julai, pasukan terakhir yang berada di pusat kawalan dan pemerintahan terbesar milik tentera Amerika Syarikat (AS) di pangkalan udara Bagram, Afghanistan mula bergerak menuju lapangan terbang Kabul.

Setelah 20 tahun dengan kekuatan bagai singa di rimba cuba menghapuskan gerila Taliban, akhirnya Amerika berundur seperti seekor tikus pada waktu malam.

Bagaimana tentera AS, sebuah kuasa dunia dengan kelengkapan teknologi peperangan paling canggih di dunia hari ini menemui kegagalan?

Faktor kritikal menjadi penyebab utama kekalahan ini ialah budaya rasuah yang diguna dan dibiar berleluasa oleh pihak AS terhadap semua sektor dalam pemerintahan kerajaan Afghanistan.

Sebelum AS melancarkan serangan terhadap Afghanistan pada 2001, pihak CIA telah membentuk satu tim perisikan diberi nama jolokan Jawbreaker.

Objektif mereka ialah membawa wang tunai dalam dolar AS sebagai suapan kepada pemerintah pasukan gerila dan panglima perang bagi membantu menjatuhkan kerajaan Taliban.

Rasuah dalam bentuk wang tunai ditaburkan di hadapan para komander. Umpamanya komander Pakatan Utara diberi pendahuluan AS$500,000, kepimpinan mereka, Jeneral Fahim diberikan AS$1 juta, manakala komander-komander lain dengan mudah boleh dibeli dengan harga tunai AS$50,000.

Kejayaan kerajaan Afghanistan nampak seakan mempunyai asas yang kukuh didokong oleh kekuatan ketenteraan pihak AS dan NATO.

Apa yang kurang ditonjolkan ialah kerajaan ini turut berdiri dengan wang rasuah, malah terma Cash is King atau ‘duit itu raja’ menjadi pegangan hidup dalam kalangan sebahagian besar ahli politik, pemimpin etnik dan pegawai kerajaan.

Rasuah menyebabkan mereka yang dilantik atau disokong oleh pihak AS tidak mempunyai kredibiliti atau integriti tinggi.

Pada 2005 umpamanya gabenor wilayah Helmand didapati menyimpan sembilan tan candu di premis miliknya, namun atas sokongan beliau terhadap pihak NATO, tiada hukuman setimpal dijatuhkan.

Budaya ini merebak sehingga ke peringkat tertinggi. Antara tahun 2010 hingga 2012, akhbar AS, Washington Post melaporkan bahawa 40 peratus daripada wang yang diperuntukkan bagi tujuan pertahanan dan pembangunan Afghanistan oleh negara penderma ‘hilang’ akibat rasuah.

Penyalahgunaan dana memuncak apabila laporan audit 2010 mendapati Bank Kabul yang merupakan bank utama Afghanistan telah kehilangan AS$1 bilion akibat penipuan pinjaman kepada ahli politik dan keluarga mereka yang berkuasa.

Akibat langsung daripada kejadian ini sekumpulan ketua hakim dan polis dari Afghanistan telah datang ke Malaysia meminta agensi antirasuah negara, SPRM, memberi tunjuk ajar bagaimana melaksanakan siasatan dan mengumpul bukti bagi menangani rasuah.

Menyedihkan rakyat biasa dihimpit oleh permintaan rasuah setiap kali mahukan khidmat daripada agensi kerajaan.

Mereka menderita akibat kemiskinan dan peperangan manakala pegawai-pegawai kerajaan, kepimpinan ketenteraan dan ahli politik lena dibuai kemewahan hasil daripada salah guna kuasa dan wang rasuah.

Tidak hairanlah pihak Taliban mempunyai kerajaan bayangan yang mempunyai mahkamahnya yang lebih dipercayai rakyat marhaen berbanding mahkamah kerajaan di Kabul.

Mahkamah bayangan ini dilihat lebih bersih dan tidak ternoda oleh rasuah. Akibatnya, sejahat mana pun media Barat mahu memaparkan puak Taliban, mereka masih mendapat sokongan sebahagian besar rakyat negara bergolak tersebut.

Sejumlah AS$2.26 trilion diberi kepada kerajaan Afghanistan dari 2001 hingga 2021 untuk pertahanan dan pembangunan.

Akibat rasuah dan salah guna kuasa hanya sekelumit yang sampai kepada rakyat. Pengorbanan 2,442 tentera Amerika yang terbunuh dan 20,066 yang tercedera, manakala 69,000 tentera Afghanistan yang turut terkorban sepanjang konflik, kelihatan sia-sia.

Kini Taliban mengetuk pintu bandar Kabul. Sebahagian besar daerah yang dikuasai kerajaan jatuh satu persatu tanpa penentangan yang hakiki.

Kluster kayangan di Kabul kini sibuk memenuhi pejabat imigresen dan lapangan terbang mahu meninggalkan lubuk duit yang bakal kering.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!