TFC perkemas rentak dalam empat aksi persahabatan

Aksi persahabatan antara TFC dan Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi. - Foto FB TFC
Aksi persahabatan antara TFC dan Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi. - Foto FB TFC
A
A
A

KEMAMPUAN pemain Terengganu FC (TFC) akan diuji menerusi empat perlawanan pemanas badan sebelum mengharungi Liga Super yang bakal bersambung 24 Julai ini.

Pengurusnya, Zul Fadli Rozi berkata, perlawanan persahabatan pertama antara TFC dan Pulau Pinang FC telah berlangsung malam tadi, manakala perlawanan kedua dan ketiga menentang pasukan PDRM FC dijadualkan pada 14 dan 15 Julai, disusuli Kelantan United pada 18 Julai.

“Untuk perlawanan persahabatan kita akan libatkan semua pemain, bukan tertumpu pada 'first eleven' sahaja.

“Sebabnya kita mahu pastikan semua pemain dalam skuad TFC bersedia sepenuhnya, memandangkan jadual perlawanan liga yang padat bulan depan,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu pada Isnin.

Tambah Zul Fadli, skuad Penyu sudah siap sepenuhnya menghadapi baki sembilan perlawanan, dengan pertemuan pertama melibatkan pasukan Perak pada 24 Julai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

“Kita masih lagi menjalani latihan secara berpusat sejak Jun dan setakat ini semuanya berjalan lancar dan memuaskan.

“Pemain-pemain juga berada dalam keadaan fizikal yang baik tanpa kecederaan, dan dijangka dapat beraksi tanpa sebarang masalah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: