Shah Firdaus congak peluang sambar pingat

Shah Firdaus bersemangat mencipta kejutan di bumi Tokyo.
Shah Firdaus bersemangat mencipta kejutan di bumi Tokyo.
A
A
A

PELUMBA trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengidam pingat dalam penyertaan sulungnya pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo bulan ini.

Pemenang emas acara keirin pada Kejojanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia, Mac lalu, itu berkata peluang mewakili negara dalam temasya sukan berprestij itu merupakan impian yang menjadi kenyataan buat dirinya.

“Sokongan padu jurulatih John (jurulatih berbasikal trek negara John Beasley), rakan sepasukan Azizul (Mohd Azizulhasni Awang), rakan sepasukan dan penaja, Yayasan Sime Darby (YSD), merupakan kunci kepada pencapaian saya dalam pada perjalanan luar biasa ini.

“Matlamat saya ialah untuk mengekalkan prestasi di Olimpik dan pulang dengan kejayaan,” kata pelumba pasukan berbasikal trek YSD (SDFTCT) itu dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh YSD pada Isnin.

Azizulhasni yang diberi jolokan The Pocket Rocketman bersama Shah Firdaus dijadual mengambil bahagian dalam acara keirin dan pecut individu di Olimpik Tokyo bermula 4 Ogos ini.

Sementara itu, kenyataan itu turut menyebut dana berjumlah RM2.6 juta telah dibelanjakan dari Februari 2017 hingga Ogos 2021 untuk program ‘SDFTCT Road to Tokyo’ di bawah bimbingan Beasley yang membolehkan Muhammad Shah Firdaus serta dua lagi pelumba negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Anis Amira Rosidi bertanding dalam 50 kejohanan di seluruh dunia.

Pengerusi YSD, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhammad Shah Firdaus dan Mohd Azizulhasni di Olimpik Tokyo.

“Kita faham bahawa temasya Olimpik kali ini agak luar biasa yang mungkin sukar bagi mereka menyesuaikan diri. Bagaimanapun, kita yakin penuh bahawa kedua-dua Shah dan Azizul, bersama anggota kontinjen negara yang lain akan membuatkan Malaysia bangga,” katanya

Artikel Berkaitan:

Tunku Imran juga mengucapkan tahniah kepada Muhammad Fadhil yang menduduki ranking terbaik dunia dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa lelaki elit Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Anis Amira kerana menjadi pelumba trek wanita terbaik negara. -Bernama