'Tikam 2 anak saudara tak dapat duit beli dadah'

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki menikam dua anak saudaranya selepas ibu mangsa enggan memberinya wang untuk membeli dadah dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Melati, Sungai Petani, pada jam 1 petang Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan yang berlaku di rumah tersebut.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 61 tahun pergi ke rumah ibu mangsa yang merupakan kakaknya, 63, dan meminta wang untuk membeli dadah.

"Namun berlaku pertengkaran mulut kerana permintaannya (suspek) tidak ditunaikan.

“Pada masa sama, anak lelaki dan anak perempuan mangsa (kakak) berusia 38 tahun dan 23 tahun cuba meleraikan pergaduhan tersebut tetapi suspek mengeluarkan pisau.

“Suspek menikam anak lelaki mangsa di perut dan anak perempuan mangsa di tangan kiri. Dia melarikan diri selepas melihat darah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, dekat sini.

Menurutnya, suspek ditahan di sebuah rumah di Felda Sungai Tiang, Pendang bersama sebilah pisau yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa selepas kira-kira tiga jam kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan mendapati lelaki ini mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah. Siasatan lanjut mendapati suspek merentas daerah tanpa kebenaran daripada polis.

“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morphine dan dia direman empat hari sehingga 15 Julai ini,” katanya.

Anuar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 kanun keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh dan di bawah Peraturan 5(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(Fasa pemulihan Negara) 2021 kerana merentas daerah tanpa kebenaran polis,” katanya.