Saran kerajaan tambah kontena sejuk beku di HTAR Klang

Kerajaan disaran menambah kontena sejuk beku bagi membolehkan mayat pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ditempatkan secara teratur.- Foto ihsan Facebook KKM
Kerajaan disaran menambah kontena sejuk beku bagi membolehkan mayat pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ditempatkan secara teratur.- Foto ihsan Facebook KKM
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menambah kontena sejuk beku bagi membolehkan mayat pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ditempatkan secara teratur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerajaan selain menambah infrastruktur kesihatan seperti fasiliti unit rawatan rapi (ICU), tangki oksigen, alat ventilator dan katil pesakit.

Menurut Gunaraj, beliau yang dihubungi waris keluarga pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia menzahirkan rasa dukacita tentang tatacara pengurusan mayat di hospital berkenaan.

"Keadaan bertambah teruk apabila bilik mayat di HTAR Klang berada pada tahap kapasiti penuh hingga menyebabkan mayat pesakit Covid-19 ditempatkan di atas lantai secara berlapis.

"Amat memilukan apabila tatacara pengurusan jenazah tidak dikendalikan dengan baik," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Gunaraj berkata, beliau difahamkan waris pesakit Covid-19 tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia, ditambah lagi proses tatacara pengurusan mayat yang mengambil masa berhari-hari selepas pesakit meninggal dunia.

"Pihak hospital perlu segera menguruskan mayat untuk proses pengebumian mengikut agama masing-masing agar waris dapat memberi penghormatan terakhir.

"Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan waris yang telah kehilangan ahli keluarga," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, pada saat ini, jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat dan meninggal dunia di hospital meningkat saban hari.

"HTAR Klang sedang bergelut untuk menangani jumlah pesakit yang postif Covid-19 dan meninggal dunia yang sudah melewati kapasiti.

"Sesuatu yang tidak masuk akal apabila pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan HTAR tidak dapat membuat persediaan awal sewajarnya apabila kes harian positif Covid-19 di Klang menunjukkan peningkatan setiap hari sejak beberapa bulan lalu," tegasnya.