Garis panduan individu lengkap vaksin perlu jelas, konsisten: MEF

Kenyataan Syed Hussain pada Isnin.
Kenyataan Syed Hussain pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Garis panduan bagi individu yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 perlu jelas, konsisten dan merangkumi prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai untuk melindungi pekerja serta rakyat Malaysia.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, SOP pencegahan wabak itu perlu terus diamalkan kerana tiada jaminan individu yang sudah menerima dua dos vaksin dilindungi sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19.

"Menurut Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), individu yang telah lengkap vaksinasi masih perlu menjalani saringan sekiranya mengalami gejala Covid-19. Mereka juga dilarang memasuki tempat awam jika disahkan positif Covid-19.

"Oleh itu, individu yang telah disuntik masih perlu mematuhi SOP kerana tidak ada bukti klinikal bahawa mereka yang sudah divaksin telah dilindungi sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 atau melindungi yang lain daripada dijangkiti,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berhubung pembentangan garis panduan tersebut kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Sementara itu, Syed Hussain berkata, individu yang sudah divaksin juga belum terbukti secara klinikal dilindungi daripada dijangkiti mutasi baharu virus tersebut.

Prihatin dengan keselamatan dan kesihatan semua pekerja termasuk yang sudah menerima vaksin, beliau berkata, MEF mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan satu platform bagi memantau, melapor dan merekodkan sebarang kesan sampingan sekiranya ada.

"Kita juga berpandangan cadangan garis panduan bagi mereka yang menerima dua dos vaksin itu tertakluk kepada SOP dan tidak mendiskriminasi individu yang belum menerima dua dos vaksin.

Artikel Berkaitan:

“Ini bagi mengelakkan pelanggaran hak asasi manusia, komplikasi undang-undang dan dasar kawalan sosial yang negatif," ujar beliau.

Pada masa sama, katanya, MEF turut menggesa pihak berkuasa supaya merangkumi semua pihak berkepentingan dalam industri, pengamal perubatan profesional dan pakar dalam bidang lain bagi memastikan SOP yang dirangka itu berkesan dan bermanfaat kepada semua yang terlibat.

"Mesti ada tanggungjawab kolektif antara pihak berkepentingan untuk menangani Covid-19 dengan berkesan. Kami berharap garis panduan ini akan dapat diseragamkan, jelas bagi mengelak kekeliruan kepada majikan dan pekerja.

"Perlu ada satu sahaja dasar untuk cadangan garis panduan itu di bawah satu agensi yang mengendalikan semua pertanyaan," ujarnya.

Tambah beliau, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan garis panduan berkaitan seperti program kesedaran mengenai manfaat dan risiko vaksinasi perlu selari dengan hak individu, etika perubatan profesional dan prinsip undang-undang.

"Kehidupan rakyat perlu dilindungi. Dengan meletakkan intervensi sedemikian, ia dapat membantu mengesahkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, serta menepis khabar angin dan berita palsu," katanya.