LADA beri pengecualian,pengurangan bayaran sewa

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memberi pengecualian dan pengurangan bayaran sewa premis perniagaan milik agensi itu bagi meringankan bebanan ditanggung penyewanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi bersama Jemaah Pengarah LADA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Langkawi mengalami perubahan ke atas ekonomi secara drastik apabila pulau pelancongan itu berhadapan dengan penularan wabak Covid-19 bermula 2020.

Katanya, sehubungan itu, LADA mengatur beberapa usaha dan inisiatif strategik bagi mendepani situasi Covid-19 di Langkawi kerana menyedari keperitan hidup yang dialami oleh masyarakat Langkawi.

"Kami bersetuju untuk memberikan pengecualian ke atas bayaran sewa premis perniagaan milik LADA atau pengurangan yuran pengurusan bagi produk komersial sepanjang Januari sehingga Jun 2021.

"Inisiatif ini dipersetujui Jemaah Pengarah memandangkan LADA memahami PKP 3.0 telah menyebabkan operasi perniagaan terjejas dan memberikan kesan kepada penyewa LADA," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, pengecualian atau pengurangan bagi bayaran caj sewaan/yuran pengurusan premis niaga dan produk komersial bagi bulan Januari sehingga Jun 2021 dengan anggaran jumlah RM1.2 juta.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan dilaksanakan berdasarkan tiga kategori merangkumi penyewa premis perniagaan, operator/syarikat di bawah perjanjian pengurusan/ manage & operate (M&O) dan penyewa tanah komersial.

Menurutnya, keputusan itu diharapkan dapat mengurangkan beban komuniti dan mengembalikan semula keupayaan sektor perlancongan memandangkan lebih daripada 70 peratus ekonomi Langkawi bergantung kepada aktiviti dan industri pelancongan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menjelaskan kemudahan tersebut tidak terpakai kepada kategori rumah penyewa.

Dalam perkembangan sama, katanya, Langkawi Tourism Recovery Plan atau dikenali T-REC 2021-2022 dilaksanakan bagi memulihkan ekonomi Langkawi, mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke Langkawi dengan menjadikannya sebagai destinasi selamat dikunjungi.

Katanya, pelan jangka pendek ini merangkumi tiga fasa, lapan strategi dan 24 inisiatif yang akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan hingga setahun dengan sokongan dan penglibatan daripada pelbagai pemegang taruh terutamanya pemain industri dan agensi kerajaan yang berkenaan.

"Antara strategi ialah Langkawi destinasi percutian yang menyeronokkan,menggerakkan inisiatif gelembung pelancongan domestik dan antarabangsa dengan mempamerkan Langkawi sebagai projek rintis bagi pemulihan industri pelancongan sehinggalah mempelbagaikan ekonomi perlancongan," katanya.

Katanya, pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) dikekalkan dengan matlamat menjadikan Langkawi sebagai pulau bebas Covid-19, merupakan antara inisiatif dilaksana dibawah strategi Langkawi destinasi percutian menyeronokkan.

Menurutnya, dengan pelaksanaan T-REC ini, LADA menyasarkan janaan pendapatan pelancongan sebanyak RM288.4 juta dengan kedatangan pelancong seramai 590,000 orang bagi tempoh September hingga Disember 2021.

Muhammad Sanusi memberitahu LADA turut menganggarkan Langkawi akan menjana RM1.17 bilion pendapatan dan menerima sehingga 2.5 juta pelancong pada 2022.

"Selain itu, sebanyak RM91,400 telah dibelanjakan di bawah dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) LADA bagi membantu komuniti Langkawi memperbaiki kehidupan harian sepanjang Januari hingga Jun 2021," katanya.

Katanya, penyaluran sumbangan ini telah dilaksanakan kepada 18 pertubuhan dan fokus utama adalah melibatkan latihan kemahiran, penyampaian bantuan Bakul Prihatin serta pembelian peralatan atau pembaikan kecil pusat komuniti.

Tambah beliau, inisiatif LADA ini adalah selari kepada usaha dirancang kerajaan persekutuan dan negeri bagi membantu masyarakat setempat menghadapi fasa pemulihan, seterusnya memacu semula pembangunan ekonomi di Langkawi.