Bayaran GKP 3.0 Pemerkasa tambahan kepada PKS mulai hari ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah tambahan Geran Khas Prihatin (GKP 3.0) sebanyak RM500 yang diumumkan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan akan dibayar mulai hari ini secara berperingkat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia merupakan tambahan daripada RM1,000 yang telah dikreditkan ke dalam akaun mereka yang didaftarkan dalam sistem GKP pada pertengahan Jun 2021.

“Pembayaran yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM500 juta ini akan dikreditkan terus ke akaun bank mereka.

“Seterusnya, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Prmulih) yang diumumkan pada 28 Jun 2021, bayaran tambahan GKP 4.0 akan disalurkan kepada penerima GKP sedia ada dan penerima baharu pada September 2021 dan November 2021, masing-masing sebanyak RM500,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tengku Zafrul berkata, bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai 2021.

Secara keseluruhan katanya, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir satu juta PKS mikro di bawah GKP sejak Covid-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.

Katanya, kerajaan berharap bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada masa ini.

“Selain daripada GKP, banyak lagi inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuklah dana pinjaman mudah PKS mikro yang keseluruhannya berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional, Agrobank, MARA, SME Corp, YAPEIM dan Tekun Nasional,” katanya.

Peruntukan dana pinjaman mudah bagi PKS dan PKS mikro juga tersedia di bawah Bank Negara Malaysia berjumlah RM8.6 bilion dan jumlah ini termasuk dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Pemerkasa Tambahan dan RM2 bilion lagi menerusi Pemulih.

Maklumat lanjut mengenai dana ini dan bantuan kerajaan lain boleh didapati di https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/. - Bernama