X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

4,500 pekerja industri di Perak terima vaksin

PPV PIKAS pertama di Perak beroperasi di Kompleks Sukan Proton, Tanjung Malim akan melibatkan 4,500 pekerja menerima suntikan vaksin.
A
A

TANJUNG MALIM - Seramai 4,500 pekerja industri pembuatan di Perak tersenarai sebagai penerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bermula Isnin.

Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, program itu adalah yang pertama di negeri ini beroperasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Proton dekat sini.

Shahrul Zaman ketika meninjau operasi PPV PIKAS Kompleks Sukan Proton, Tanjung Malim pada Isnin.
Shahrul Zaman ketika meninjau operasi PPV PIKAS Kompleks Sukan Proton, Tanjung Malim pada Isnin.

Menurutnya, PPV berkenaan mampu mengendalikan 800 dos suntikan sehari dan akan beroperasi sepanjang enam hari membabitkan jumlah keseluruhan 4,500 pekerja.

"PPV PIKAS di Tanjung Malim ini adalah satu daripada empat PPV yang dicadangkan di Perak.

"Tiga lagi PPV akan diadakan secara berperingkat di beberapa daerah berasingan setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan bagi meninjau pengoperasian PPV berkenaan di sini pada Isnin.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah Orang Besar Jajahan Muallim, Datuk Ir Dr Safry Kamal Ahmad; Pengarah MITI Perak, Rosazliza Azman; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Izran Abdullah dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Perak, Mohd Fairuz Iqbal Mohd Akhbar.

Beliau berkata, pelaksanaan program pertama PIKAS itu diharap dapat membantu mempercepatkan lagi pelaksanaan program imunisasi di negeri ini dengan menyasarkan tenaga kerja dalam sektor-sektor pembuatan kritikal.

Katanya, sehingga Ahad lepas, jumlah vaksinasi dos pertama di Perak adalah seramai 485,403 iaitu 19.3 peratus daripada jumlah penduduk, manakala dos kedua melibatkan 270,092 orang (10.8 peratus).

"Program PIKAS ini sudah tentunya akan menyumbang kepada peningkatan jumlah vaksinasi dalam kalangan rakyat Perak pada masa akan datang.

"Dalam hal ini, InvestPerak dan MIDA Perak menerusi Pusat Koordinasi Sokongan Industri (Pulse) akan membantu MITI untuk mengenal pasti beberapa lokasi baharu bagi melaksanakan inisiatif PIKAS ini di bandar-bandar industri di seluruh negeri

"Bagi mewujudkan momentum lebih besar, MITI dibantu InvestPerak dan MIDA Perak menerusi Pulse akan mengenal pasti beberapa lokasi baharu untuk melaksanakan inisiatif PIKAS di bandar-bandar industri seluruh negeri," katanya.

Menerusi PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma manakala swasta menguruskan pentadbiran PPV termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.

Majikan pula perlu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran bagi vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos pentadbiran vaksinasi dengan menolak gaji pekerja walaupun pekerja tidak lagi berkhidmat dengan syarikat selepas mendapat dos vaksinasi pertama.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!