X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Pamer darjah kebesaran Perak, ahli perniagaan didakwa

A
A

JOHOR BAHRU - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan mempamerkan darjah kebesaran Sultan Perak pada kenderaan, awal bulan lepas.

Mohamad Halmi Waramejini, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengarah syarikat didakwa mempamerkan gelaran 'Darjah Seri Paduka Mahkota Perak-Dato Seri (S.P.M.P.)' pada kenderaan jenis Proton X70 tanpa kebenaran bertulis daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Caranday Park, Setia Tropika di sini pada 4 petang 4 Jun lepas mengikut Seksyen 17 Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 dibaca bersama Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran Dan Augerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 [Enakmen 12] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, Mohamad Halmi berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman menawarkan jaminan RM20,000 namun tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan menanggung dua anak yang masih bersekolah dan pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 September untuk sebutan semula kes. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!