HSK Batu talam diwartakan kawasan tadahan air sejak 2002

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam seluas 62,070 hektar sudah diwartakan sebagai hutan tadahan air pada 2002.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad berkata, berdasarkan undang-undang, tiada sebarang aktiviti dibenarkan dilakukan di kawasan HSK dan individu yang ingin memasuki hutan berkenaan perlu memiliki permit dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Menurutnya, terdapat tujuh HSK yang diwartakan sebagai kawasan hutan tadahan air di daerah Raub antaranya HSK Batu Talam, HSK Gunung Benom, HSK Teranum, HSK Sungai Sia, HSK Rotan Tunggal dan HSK Bukit Kajang.

"Jadi, kita berusaha mengekalkan kawasan tadahan air di daerah ini. Kepentingan mengekalkan kawasan tadahan air perlu diberi perhatian serius kerana ia membabitkan sumber air untuk kegunaan masyarakat setempat, semua pihak perlu memahami mengenai keperluan berkenaan.

"Tanpa sumber air yang mencukupi pengguna pasti akan menyalahkan kerajaan termasuk agensi berkaitan, justeru, sebelum perkara buruk berlaku tindakan terbaik perlu dilakukan," katanya pada Isnin.

Beliau menjelaskan HSK Batu Talam membekalkan air kepada Sungai Sempam yang mengalir bertemu Sungai Liang dan membentuk Sungai Semantan, sumber air sungai berkenaan diproses di loji Semantan untuk kegunaan pengguna.

Shahril berkata, pihaknya sentiasa bertindak tegas terhadap pihak yang menceroboh HSK di daerah ini

"Mereka yang menceroboh boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984, sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Shahril berkata, dalam tempoh enam bulan tahun ini, pihaknya telah mengadakan dua operasi musnah tidak termasuk operasi yang sedang berjalan di HSK Batu Talam.

Ujarnya, pihak JPNP sudah menjalankan kerja memusnahkan kira-kira 15,000 pokok durian musang king melibatkan kawasan seluas kira-kira 101 hektar.

"Kegiatan menceroboh HSK di daerah ini lebih tertumpu kepada aktiviti pertanian dengan tanaman durian musang king dan pisang serta beberapa jenis tanaman kontan lain.

"Jadi, kita akan terus berusaha bertindak tegas membanteras kegiatan menceroboh HSK di daerah ini," tegasnya.