X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga jalanan terjejas sepanjang pandemik Covid-19

Wan Mustaffa (kanan) menyerahkan bakul makanan kepada Mat Dollah diperhatikan Abdullah (tengah) di Kemaman, pada Ahad
A
A

KEMAMAN - Peniaga jalanan di daerah ini mengakui terkesan akibat pandemik Covid-19 dan terpaksa menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan beberapa prosedur lain yang ditetapkan oleh kerajaan sejak tahun lalu.

Peniaga air nira di Jalan Payoh, Rosle Othman, 53, berkata, sebelum ini dia mampu meraih pendapatan harian bersih antara RM60 hingga RM100 tetapi sejak Covid-19, pendapatannya berkurangan hampir 50 peratus.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan perbelanjaan harian enam beranak itu turut terjejas.

Bagaimanapun kata Rosle, dia tidak pernah berputus asa malah setiap hari berfikir cara untuk mencari pelanggan selain mengambil pendekatan menyediakan khidmat penghantaran ke rumah.

"Tetapi saya terpaksa mengehadkan jarak iaitu tidak lebih 10 kilometer (KM) kerana tidak mampu memberi upah untuk penghantaran.

"Walaupun situasi agak sukar, Alhamdulillah adik-beradik selalu membantu terutama keperluan harian kami," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

MASHITAH
MASHITAH

Selain itu, peniaga lemang di Jalan Kijal, di sini Mashitah Ali, 44, turut mengakui menghadapi masalah setiap kali tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.

Katanya, dia memang terpaksa mengambil keputusan untuk tidak berniaga kerana tiada pelanggan.

"Lokasi saya berniaga selama ini memang tumpuan laluan orang ramai termasuk dari luar daerah. Apabila tempoh PKP diumumkan memang tiada kenderaan melalui jalan ini..

"Bagi mengelakkan menanggung risiko kerugian, ditambah keadaan sukar mencari duit untuk dijadikan modal pusingan, jadi saya mengambil keputusan untuk tidak berniaga," katanya.

Kedua-dua peniaga berkenaan merupakan antara 50 penerima bakul makanan sumbangan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas) Kemaman yang diagihkan pada Sabtu dan Ahad.

Pengerusi Penyelarasnya, Datuk Rohani Abdullah berkata, buat permulaan Kupekmas Kemaman memberi sumbangan kepada golongan sasar yang memerlukan bantuan.

“Mereka terdiri daripada ahli kelab, keluarga dan jiran tetangga ahli kelab termasuk warga emas, ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan, pesakit kronik yang terlantar dan mereka yang hilang punca pendapatan," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan kepada Biro Keselamatan (Polis dan Tentera) Kupekmas Kemaman di sini.

Turut hadir, Setiausaha Kupekmas Kemaman, Abdullah Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Kecil Biro Kebajikan Kupekmas Kemaman, Wan Mustaffa Kamal Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Biro Keselamatan (Polis dan Tentera) Kupekmas Kemaman, Mat Dollah Mansor.

Menurut Rohani, program itu merupakan sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kupekmas Kemaman dalam usaha membantu mengurangkan beban rakyat yang mengalami kesempitan kewangan.

"Kami berharap program seperti ini ia akan menjadi dorongan terutama kepada ahli untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan berbelanja di peruncitan bumiputera untuk merancakkan perniagaan orang Melayu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!