Bekas ADUN didakwa 106 pertuduhan rasuah lebih RM11 juta

Mansor (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Isnin.
Mansor (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Isnin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Mansor Musa didakwa 106 pertuduhan rasuah bernilai lebih RM11 juta di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini pada Isnin.

Pengerusi Koperasi Tunas Muda itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut 42 pertuduhan, Mansor, 58, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang dan harta milik syarikat yang merupakan hasil kepada suatu aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-dua sekali.

Bagi 64 pertuduhan lagi, beliau didakwa menerima wang dan harta daripada syarikat yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta mana-mana lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Mansor didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut antara September 2011 dan Ogos 2020 membabitkan nilai lebih RM11 juta.

Pasukan Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhamad Asraf Mohamed Tahir dan Muhamad Azlan Basri.

Tertuduh pula diwakili peguam Kek Boon Wei dan Helen Ng.

Mahkamah kemudian membenarkan Mansor yang juga Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sebelum itu, proses pendakwaan mengambil masa kira-kira empat jam berikutan Mahkamah Sesyen Butterworth mengalami gangguan bekalan elektrik beberapa kali sehingga kes terpaksa ditukarkan ke tiga bilik mahkamah lain.

Mansor dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada minggu ini bagi berdepan 54 lagi pertuduhan rasuah.

Pada Ahad, beliau ditahan SPRM kerana disyaki terlibat kes rasuah berjumlah lebih RM16 juta dengan 160 pertuduhan.