274 buah premis kitar semula diperiksa

Bee Yin pada ops yang dilakukan tadi.
Bee Yin pada ops yang dilakukan tadi.
A
A
A

SEREMBAN – Sebanyak 274 buah premis kitar semula plastik terpakai telah diperiksa di seluruh negara, sehingga hari ini.

Menurut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin, daripada jumlah tersebut, 109 buah premis didapati beroperasi secara haram, manakala di Negeri Sembilan sebanyak 33 kilang telah diperiksa dan didapati 10 daripadanya adalah kilang haram, manakala 13 kilang lagi telah ditutup dan ditahan operasi.

Katanya, kilang kitar semula plastik terutama yang beroperasi secara haram ini, majoritinya diusahakan oleh warganegara China dan tertumpu di Selangor terutama di daerah Kuala Langat dan Klang.

"Disebabkan kita giat lakukan Operasi bersepadu di Negeri Selangor pada Julai 2018 lalu, kebanyakan pengusaha-pengusaha ini berpindah ke beberapa negeri lain termasuk Negeri Sembilan.

"Hasil operasi hari ini, kita mengeluarkan dua kompaun kepada pemilik premis kilang haram kerana beroperasi tanpa lesen, manakala sebuah lagi dikenakan tindakan atas kesalahan tidak mematuhi Akta Alam Sekeliling 1974," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Ops Khas Bersepadu kilang kitar semula plastik di negeri ini hari ini.

Turut serta Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis; Exco Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan S Veerapn dan pegawai-pegawai kanan MESTECC.

Operasi penguatkuasaan bersepadu pada kali ini melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan yang diketuai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan bersama-sama dengan Majlis Perbandaran Seremban, Majlis Perbandaran Nilai, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Pejabat Tanah dan Galian Daerah, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Sembilan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seramai 82 pekerja warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Daripada jumlah tersebut 29 warganegara Bangladesh, 18 (Indonesia) dan 35 (China), dan kesemua mereka diserahkan ke Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan.