MAINS selamatkan lelaki hadapi tekanan kewangan

Pasukan Bahagian Kaunseling MAINS menyampaikan sumbangan bantuan keperluan dan kewangan kepada seorang individu di Seremban pada Ahad.
Pasukan Bahagian Kaunseling MAINS menyampaikan sumbangan bantuan keperluan dan kewangan kepada seorang individu di Seremban pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan seorang lelaki yang menghadapi masalah kewangan menghubungi Talian Bantuan Sokongan Psikososial KSK Care Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelamatkan dirinya daripada melakukan perbuatan di luar kawalan.

Ketua Kanselor Bahagian Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat berkata, lelaki tersebut sebelum itu seakan hilang arah dan mula berfikir untuk melakukan perkara tidak waras akibat tekanan kewangan dihadapi.

"Syukur kerana Tuhan masih menyayanginya dan 'menjentik' hatinya untuk bertindak lebih waras apabila dia menghubungi talian sokongan psikososial Jakim yang kemudian disambungkan ke Bahagian Kaunseling MAINS.

"Lelaki itu juga pernah pergi berseorangan tanpa arah tujuan ke Hutan Lipur Ulu Bendul sebelum tergerak hati mendapatkan khidmat kaunseling daripada kami," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, selepas menjalani dua kali sesi kaunseling secara maya bersama Bahagian Kaunseling MAINS, lelaki itu kini kembali tenang, malah masalah dihadapinya berjaya diselesaikan bersama.

Menurutnya, pihaknya turut menziarahi lelaki tersebut di rumahnya dan menyampaikan bantuan keperluan dapur serta wang tunai, selain bantuan susulan kebajikan berdasarkan kelayakan melalui amanah zakat.

Katanya, turut serta dalam ziarah tersebut ialah Kaunselor Kanan MAINS, Wan Aminuddin Wan Abdullah; Kaunselor MAINS, Muhammad Ashraf Zakaria; Pegawai Agihan Senawang, Mohd Suhaimi Mohd Aziz dan Pegawai Skuad Gerak Khas (SGK) MAINS, Amir Syukri Abdul Jalil.

Sementara itu, Norazman berkata, individu yang mendapatkan khidmat kaunseling MAINS pada tahun ini meningkat sebanyak 61 peratus setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat Januari hingga Jun lalu, sebanyak 1,484 individu yang mendapatkan bantuan kaunseling berbanding 920 individu pada tahun lalu bagi tempoh sama.

"Antara masalah kes yang dilaporkan ialah berkaitan rumah tangga, kerjaya, pelajaran, keluarga, peribadi dan pelajaran," jelasnya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai masalah dan ingin mendapatkan sesi kaunseling boleh menghubungi mana-mana Telekaunseling di Menara MAINS Seremban menerusi talian 06-7651505 (sambungan 116) bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

Orang ramai juga boleh menghubung Telekaunseling Senawang di talian 06-6792215 bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.