Kenderaan perkhidmatan awam diberi pelanjutan automatik satu tahun

Kenyataan media MOT pada Isnin.
Kenyataan media MOT pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima penggunaan kenderaan untuk tempoh bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021 akan diberi pelanjutan secara automatik untuk satu tahun.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pelanjutan tersebut tertakluk kepada kenderaan terlibat menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi memastikan tahap keselamatan dan kelayakan berada di atas jalan.

“Pelanjutan ini akan melibatkan semua kelas kenderaan perkhidmatan di bawah skop tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak.

“Keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) berkaitan pelanjutan had usia bas pelancongan atau persiaran juga telah diselaraskan dengan aspek pelesenan syarikat, agensi dan operator pelancongan.

“Selain itu, ia turut melibatkan pelesenan bas pelancongan dan persiaran di Sabah, Sarawak, dan Labuan yang berada di bawah skop kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, keputusan tersebut diambil susulan sesi perbincangan serta libat urus di antara MOT bersama persatuan dan pengendali.

Menurutnya, ia termasuklah Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA), Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor.

“MOT memahami situasi yang terpaksa dihadapi oleh pemain industri apabila tidak berupaya untuk menggantikan kenderaan mereka pada waktu sukar ini.

Artikel Berkaitan:

“Diharapkan dengan pelanjutan had usia penggantian kenderaan selama setahun secara automatik ini dapat memberi kelegaan kepada industri pengangkutan awam seterusnya kembali pulih serta terus berdaya saing untuk tempoh panjang demi manfaat rakyat serta negara secara keseluruhannya.