Penduduk bantah CAC di Sri Andalas

Dr Masitah (kiri) ketika mengadakan perjumpaan bersama Mohd Zawawi dan wakil penduduk di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang pada Isnin. Gambar kecil: Saijan Sikon
Dr Masitah (kiri) ketika mengadakan perjumpaan bersama Mohd Zawawi dan wakil penduduk di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang pada Isnin. Gambar kecil: Saijan Sikon
A
A
A

KLANG - Penduduk Taman Sri Andalas di sini membantah keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang yang berhampiran lokasi perumahan mereka.

Pengerusi Surau An Naim Taman Sri Andalas, Saijan Sikon berkata, rata-rata penduduk menyuarakan kebimbangan kemungkinan akan berlaku peningkatan kes Covid-19 di kawasan mereka nanti.

Beliau berkata, penduduk menolak keputusan KKM dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang yang menjadikan dewan berkenaan sebagai penempatan CAC bagi pesakit positif wabak Covid-19.

“Saya mewakili kira-kira 300 penduduk yang tinggal berhampiran menzahirkan rasa tidak puas hati serta bimbang kebarangkalian jangkitan wabak itu akan menular ke sini.

“Kami sebagai penduduk di kawasan perumahan ini juga tidak dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum ini, tetapi pada hari ini (Isnin), ia mula dibuka dan perkembangan ini cukup menggerunkan kami.

"Oleh itu, kami menggesa pihak berwajib memindahkan CAC ini ke satu lokasi lebih sesuai dan jauh dari kawasan penempatan penduduk iaitu di Padang Bandaran," katanya kepada Sinar Harian selepas selesai perjumpaan bersama Pegawai PKD Klang, Dr Masitah Mohamad di PKD Klang di sini pada Isnin.

Hadir sama dalam perjumpaan berkenaan ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna serta Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sementara itu, Mohd Zawawi ketika ditemui pemberita berkata, permohonan dan cadangan penduduk agar CAC itu dipindahkan ke Padang Bandaran diserahkan kepada KKM untuk membuat keputusan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Buat sementara waktu, katanya, satu kumpulan 'task force' dicadangkan bagi menangani kesesakan ketika orang ramai berurusan di CAC terbabit.