9,241 PATI ditahan sejak awal tahun ini

Khairul Dzaimee Daud
Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 9,241 pendatang tanpa izin ditahan manakala 13,127 orang lagi diusir dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen di seluruh negara sejak awal tahun ini hingga 8 Julai.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sejumlah 2,011 operasi diadakan dalam tempoh itu dengan seramai 53,195 individu diperiksa.

“Seramai 99 majikan turut ditahan dalam tempoh itu manakala mereka yang diusir terdiri daripada 10,418 lelaki; 2,276 wanita; 289 kanak-kanak lelaki dan 144 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, berdasarkan statistik jabatan, mereka yang dihantar pulang ke negara asal menerusi program rekalibrasi dalam tempoh 21 Disember hingga 8 Julai lepas pula, berjumlah 80,865 orang.

Dalam pada itu Khairul Dzaimee berkata, 63 pekerja asing terdiri daripada 35 Myanmar dan masing-masing 14 rakyat Indonesia dan Bangladesh dalam serbuan Op Patuh, di sebuah penempatan pekerja asing kawasan projek binaan di Yarra Park, Sungai Petani, Kedah awal Isnin.

“Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi yang berakhir pada 2.20 pagi itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: