UOBAM lihat pelaburan korporat dalam talian kian melonjak

No Image Caption
A
A
A

UOB Asset Management Ltd (UOBAM) melihat pelaburan korporat dalam talian terus melonjak dengan jumlah pengguna di Malaysia, Singapura dan Thailand di portal pelaburan digitalnya untuk pelabur korporat - UOBAM Invest, meningkat 330 peratus sepanjang tempoh 18 bulan yang lepas.

Jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) di portal dalam talian itu turut melebihi RM3 bilion, katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

UOBAM berpendapat bahawa trend meningkat sedemikian menunjukkan permintaan yang semakin bertambah daripada pelabur korporat untuk penyelesaian digital lebih baik yang menawarkan akses sepanjang hari serta kefleksibelan untuk membuat perubahan dalam masa nyata ke atas pelaburan dan portfolio peribadi mereka.

Ia menambah Penasihat Digital UOBAM Invest, yang merupakan perkhidmatan penasihat robo pertama khusus untuk pelabur korporat di Singapura dan Malaysia, menampilkan perancang portfolio berasaskan algoritma yang membolehkan pengguna melabur dalam portfolio dana UOBAM yang disesuaikan dan juga dana dagangan bursa (ETF) global.

Ia turut maklum sebilangan besar pengguna terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang meraih manfaat digitalisasi dalam semua aspek operasi mereka.

"Melalui UOBAM Invest, semua syarikat ini mempunyai akses langsung serta kawalan lebih besar ke atas pelaburan budi bicara dalam talian, dengan itu, membolehkan mereka mengoptimumkan pulangan dan meningkatkan kecairan dengan lebih berkesan," katanya.

Minat dan permintaan pelabur korporat untuk melabur dalam talian terus meningkat memandangkan interaksi secara bersemuka masih tidak dibenarkan dalam pandemik Covud-19, katanya.

UOBAM menambah bilangan transaksi yang dilakukan dalam portal dalam talian UOBAM Invest pada tahun ini telah melebihi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi 2020.

Artikel Berkaitan:

Berikutan persekitaran kadar faedah yang rendah di negara, UOBAM melihat permintaan kukuh daripada pelabur korporat untuk dana bon, termasuk dana bon Islam, yang menawarkan pulangan yang stabil.

Sehingga 30 Jun 2021, dana bon seperti United-i High Quality Sukuk Fund dan United Conservative Bond Fund, mempunyai jumlah AUM lebih daripada RM200 juta di UOBAM Invest, pertumbuhan sebanyak 66 peratus pada tahun ini sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM (Malaysia) Lim Suet Ling berkata melalui UOBAM Invest, pelabur korporat di Malaysia dapat mengakses portfolio yang disesuaikan berdasarkan selera risiko dan matlamat pelaburan mereka.

"Pertumbuhan kukuh dalam AUM untuk dana bon kami pada separuh pertama tahun ini juga menunjukkan bagaimana pelabur boleh menggunakan portal dalam talian dengan mudah untuk mengoptimumkan pulangan mereka dalam pelbagai keadaan pasaran,” jelas beliau. - Bernama