X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Janji sehidup semati, suami menyusul selepas pemergian isteri

Foto fail Bernama
A
A

SIK - “Mereka dah janji nak sehidup semati, tak sangka akhirnya mereka ‘pergi’ bersama,” luah Zuriyani Ramli, sayu bercerita tentang ibu dan bapanya yang meninggal dunia akibat Covid-19 masing-masing pada Jumaat dan semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sik, di sini.

Zuriyani, 42, yang turut disahkan positif Covid-19 dan dirawat di hospital sama berasa terkilan apabila tidak dapat menatap wajah ibunya, Salmah Shariff, 74, buat kali terakhir sebelum jenazah dibawa keluar dari hospital untuk dikebumikan.

Namun, suri rumah itu tetap bersyukur kerana bapanya Ramli Awang, 82, ditempatkan di wad sama dengannya dan sempat meluangkan masa sehingga warga emas itu pula dijemput Ilahi.

“Kami bertiga dirawat di hospital sama dan saya duduk satu wad dengan ayah, mak pula menerima rawatan di wad kecemasan. Jadi saya tak dapat tengok mak langsung dari mula masuk hospital sampai beliau meninggal dunia pukul 11.50 malam hari Jumaat lepas.

“Ayah duduk satu wad dengan saya dan kami sempat baca Yassin sama-sama malah semasa ayah nazak saya sempat ajar ayah mengucap dan beliau menghembuskan nafas terakhir depan mata saya pada jam 12.05 tengah malam semalam,” kata Zuriyani dalam nada sebak ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Zuriyani yang tinggal di Kampung Kota Bukit, Jeneri, di sini bersama suami dan lima anaknya berusia antara enam hingga 20 tahun berkata, bapanya yang menghidap strok tinggal bersama sejak beberapa bulan lalu sebelum ibunya menyusul beberapa minggu kemudian.

“Sebelum ini ayah dan mak tinggal di rumah mereka di Kampung Batu 9, Gurun, bersama seorang lagi adik lelaki saya yang belum berkahwin. Saya bawa ayah duduk dengan saya sebab nak jaga dia dan mak pun ikut sekali selepas itu,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai jangkitan Covid-19, Zuriyani berkata, beliau tidak pasti siapa yang pertama dijangkiti dahulu namun penyakit itu mula dikesan pada dirinya.

Zuriyani berkata sebelum disahkan positif Covid-19, dia mengalami demam dan batuk selama seminggu dan beransur pulih, namun memutuskan untuk ke hospital bagi mendapatkan ubat batuk pada Jumaat lepas.

“Di hospital, doktor kata saya perlu buat ujian calitan. Apabila tahu saya positif Covid-19 saya terus telefon adik lelaki saya suruh bawa ayah ke hospital, sebab ayah juga beberapa hari sudah demam dan sejak itu tak boleh bercakap. Mak pula batuk-batuk tapi ingatkan batuk biasa sebab usia tua,” katanya.

Wanita itu berkat,a selepas bapanya disahkan positif Covid-19 pihak hospital mengambil ibunya di rumah yang kemudian turut disahkan positif dan dimasukkan ke wad kecemasan disebabkan keadaannya yang agak lemah.

“Saya tak sangka mereka positif. Saya ingat ayah yang kritikal sebab ada strok, tapi tak sangka mak yang pergi dulu sebelum ayah. Saya tak tahu kena jangkitan dari mana sebab saya tidak pergi ke mana-mana, rutin harian saya jaga mak ayah dan masak untuk mereka sahaja,” katanya.

Zuriyani berkata suami dan lima anaknya turut menjalani ujian saringan Covid-19, namun keputusannya belum dimaklumkan dan berharap mereka bebas jangkitan.

“Sebelum ini, ayah ada cakap yang dia nak beraya (Hari Raya Aidiladha) dengan saya sekeluarga, malangnya tak kesampaian. Ayah juga selalu pesan agar jangan tinggal sembahyang,” katanya yang turut memberitahu jenazah ibu dan bapanya dikebumikan di tanah perkuburan di kampung mereka.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo ketika dihubungi berkata pasangan suami isteri warga emas itu dimasukkan ke Hospital Sik pada Jumaat lepas dengan gejala jangkitan salur pernafasan dan kematian adalah akibat pneumonia Covid-19.- Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!