X

Kindly register in order to view this article
!

'Hanya mereka yang gila berpolitiking kata Malaysia gagal tangani Covid-19'

Abdul Hadi Awang
A
A

SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan belum ada negara dalam dunia yang boleh mendabik dada telah berjaya menghadapi penularan wabak pandemik Covid-19 sehingga kini.

Menurutnya, tidak ada juga negara yang berputus asa melawan wabak berkenaan selain munculnya pelbagai varian baharu dikatakan paling berbahaya seperti Delta dan lain-lain bentuk.

“Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah memberikan amaran kepada semua negara supaya bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Hanya mereka yang masih gila berpolitiking membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19, seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden Pas di Facebook beliau pada Isnin.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, kenyataan dibuat oleh mereka itu adalah disebabkan oleh nafsu politik angkuh terlalu tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa sehingga mendabik dada dalam menyelesaikan masalah seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dahulu.

“Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan,” katanya.

Menurutnya, pasukan barisan hadapan berusaha penuh gigih dengan mengambil langkah pencegahan khususnya meningkatkan jumlah suntikan vaksin bagi menyelamatkan dan memberikan kefahaman akan kepentingannya kepada seluruh rakyat.

“Namun, sikap mereka yang terlalu berpolitiking mendakwa bahawa kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melaksanakan tugas secara langsung melaporkan angka statistik penularan wabak Covid-19 dianggap sebagai berpolitik.

“Walaupun pihak yang melaporkan angka statistik tersebut wajib berterus terang, tidak boleh menyembunyikan realiti atau kenyataan sebenar yang berlaku di lapangan,” ujarnya

Dalam pada itu, Abdul Hadi menjelaskan, mereka yang dimaki kerana menunaikan kewajipan menangani wabak Covid-19 akan mendapat pahala percuma dan mereka yang memaki pula mendapat dosa dengan mudah.

“Jika bernasib malang, mereka boleh menghadapi hukuman atau tindakan undang-undang, bersekali dengan dosa, kerugian di dunia dan di akhirat jika tidak meminta maaf dan bertaubat,” tegasnya.

Beliau berkata, dalam keadaan mencabar seperti ini, peranan semua pihak adalah wajib bagi menyelamatkan keadaan secara bersama dan menolak segala kepentingan peribadi, puak dan kumpulan.

“Di sinilah pentingnya memelihara perpaduan dan permuafakatan yang sedia terjalin bagi meredakan ketegangan dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

“Islam juga melarang para penganutnya daripada berputus asa,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!