Empat ADUN Bersatu Johor sedia tarik sokongan

Che Zakaria menyerahkan sumbangan pihaknya secara pandu lalu kepada 60 pengusaha dan pemandu van sekolah dalam kawasan Permas di kediamannya di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, pada Isnin.
Che Zakaria menyerahkan sumbangan pihaknya secara pandu lalu kepada 60 pengusaha dan pemandu van sekolah dalam kawasan Permas di kediamannya di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, pada Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG - Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor jika UMNO masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Pusat.

ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, mereka sedia menarik sokongan pada bila-bila masa sekali gus akan mengakibatkan kerajaan PN Johor runtuh.

"Kami ingatkan UMNO supaya berhenti bermain politik. Sekiranya kerajaan Pusat bertukar maka kerajaan negeri di Johor juga akan bertukar.

"Bukan sahaja empat tetapi enam ADUN Bersatu atau lebih lagi bersedia menarik sokongan (terhadap kerajaan PN Johor). Jadi jangan main-main atau cuba berbuat sesuka hati semata-mata mahu berkuasa.

"Jangan gunakan alasan konon semuanya dilakukan untuk rakyat tetapi sebenarnya kerana kepentingan diri dan tamak kuasa. Kalau benar-benar berjuang untuk rakyat berhentilah berpolitik, tumpu dan selesaikan isu rakyat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas secara pandu lalu kepada 60 pengusaha dan pemandu van sekolah dalam kawasan Permas di kediamannya di Taman Bukit Dahlia di sini pada Isnin.

Che Zakaria mengulas desas-desus terdapat gerakan beberapa pemimpin UMNO yang masih mencari jalan mahu menubuhkan kerajaan baharu walaupun jawatan Timbalan Perdana Menteri sudah diberikan kepada parti itu.

Untuk rekod, kerajaan PN Johor pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad ketika ini mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Jika seorang ADUN menarik sokongan daripada PN akan menjadikan kerusi DUN PN dan PH masing-masing 28 kerusi sekali gus DUN Johor akan tergantung atau dibubarkan.

Che Zakaria juga mengingatkan UMNO supaya tidak terus mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau berpendapat, desakan dibuat beberapa pemimpin UMNO yang mempunyai agenda sendiri dan tidak mewakili keseluruhan parti itu.