X

Kindly register in order to view this article
!

Berhenti belajar demi jaga ibu sakit

Mohd Ikmal Hakimi dan Farah Natasha sepakat memikul tanggungjawab menjaga ibu mereka yang sakit.
A
A

NILAI - Demi menjaga ibunya yang sakit, seorang pelajar sekolah tahfiz terpaksa membuat keputusan untuk berhenti belajar sejak tahun lalu.

Pengorbanan Mohd Ikmal Hakimi Zulkifli, 21, itu bagi membantu menguruskan ibunya Siti Zaiton Zainudin, 53, yang tidak lagi mampu menguruskan diri akibat penyakit kencing manis dan darah beku pada kaki.

Dia perlu berada di samping ibunya memandangkan kakak dan abangnya perlu pergi bekerja untuk menyara mereka keluarga.

"Saya buat ini kerana tanggungjawab. Dalam keadaan mak sekarang, kami tak boleh tinggalkan dia kerana bimbang berlaku kejadian tak diingini.

"Saya yang ambil peranan memasak dan mengemas rumah termasuk membawa ibu ke tandas. Jika kakak dan abang ada kami lakukan bersama-sama," katanya selepas menerima kunjungan Setiausaha Kehormat Perkim Cawangan Nilai, Jamsari Mohamad di rumahnya di Flat Taman Semarak di sini, pada Isnin.

Dia yang bercita-cita ingin menjadi seorang ustaz tidak menafikan pernah terfikir tentang masa depannya, tetapi percaya yang rezeki ada di mana-mana.

Sementara itu anak sulung Siti Zaiton, Farah Natasha, 25, berkata, dugaan yang dihadapi mereka sekeluarga datang bertimpa-timpa selepas kematian bapa dua tahun lalu sebelum disusuli adik bongsunya tahun lalu.

Jamsari(kiri) melawat Siti Zaiton(tengah) dan Mohd Ikmal Hakimi dan Farah Natasha di rumahnya di Flat Taman Semarak.
Jamsari(kiri) melawat Siti Zaiton(tengah) dan Mohd Ikmal Hakimi dan Farah Natasha di rumahnya di Flat Taman Semarak.

"Ayah meninggal sakit jantung pada November tahun 2019 dan Oktober tahun lalu adik bongsu saya pula meninggal kerana jangkitan kuman dalam darah.

"Pada masa sama keadaan kesihatan ibu pula makin merosot selepas ibu jari kaki kanannya terpaksa dipotong akibat kencing manis. Keadaan kakinya kini membengkak sehingga ke bahagian lutut menyebabkan ibu sukar untuk bergerak," katanya.

Farah Natasha yang bekerja di sebuah kilang akan cuba melakukan yang terbaik dan sentiasa sepakat dengan adik-beradik untuk menguruskan ibu.

Sementara itu Setiausaha Kehormat Perkim Cawangan Nilai, Jamsari Mohamad berkata, beliau akan membantu proses permohonan mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal dengan harapan ia dapat meringankan beban keluarga berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!